PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) meletakkan peranti tiang pintar di kawasan perindustrian, komuniti dan sungai termasuk Sungai Kim Kim di sini bagi memantau serta mengesan aktiviti pencemaran.

Datuk Bandaraya MBPG Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata peranti itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan alat pengesan parameter tertentu seperti pH, amonia dan nitrat serta mempunyai penggera yang akan memberi amaran sekiranya terdapat pencemaran berlaku.

Beliau berkata peranti tersebut bukan sahaja boleh mengesan pencemaran di air, malah udara dan bunyi, dengan 10 lokasi 'hotspot' termasuk Sungai Kim Kim telah dipasang peranti itu bermula bulan lepas.

"Kalau sensor kesan ada yang melepasi parameter dan berbahaya untuk penduduk, penggera akan berbunyi untuk beri amaran kepada kita serta penduduk sekitar bahawa terdapat pencemaran berlaku di kawasan tersebut.

"Ia juga ada kamera yang akan ambil gambar individu yang buat pencemaran, setakat ini kita telah buat pembuktian konsep (POC) di 10 lokasi, kerana kita hendak tangkap individu yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rehabilitasi Sungai Buluh, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) Pandai Othman.

Asman Shah berkata setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai aktiviti pencemaran melibatkan 10 lokasi 'hotspot' di Pasir Gudang dan MBPG menyasarkan 200 lagi lokasi akan dipasang peranti itu pada tahun depan.

Menurutnya MBPG akan menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian Sungai Kim Kim yang melibatkan pemain industri, komuniti dan pelbagai agensi termasuk Jabatan Parit dan Saliran (JPS) pada Julai lepas.

"Jawatankuasa ini kita bentuk setelah ambil kira apa yang berlaku di Sungai Kim Kim tiga tahun lepas, tetapi ia bukan terhad kepada sungai tersebut sahaja, malah melibatkan 25 sungai lain di Pasir Gudang," katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas kerja untuk diberikan kepada kerajaan negeri, bagi menaik taraf jawatankuasa itu menjadi Majlis Kelestarian Sungai Kim Kim dengan cadangan agar ia dinaungi Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Terdahulu MBPG dan MHB menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Program Rehabilitasi Sungai Buluh selama tiga tahun.

Pandai berkata ia bertujuan memelihara sungai tersebut yang merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus mendidik orang ramai mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

-- BERNAMA