MBS nafi dakwaan sewa tapak bazar Aidilfitri di Dataran Senawang melampau

Masri (dua, kiri), mendengar perkongsian isu daripada peniaga pada sidang media berhubung penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Majlis Bandaraya Seremban, hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menafikan dakwaan kononnya penganjur bazar Aidilfitri di Dataran Senawang mengenakan caj sewa tapak melampau sehingga melebihi kadar ditetapkan pihaknya seperti yang ditularkan di media sosial.
Ringkasan AI
- MBS menafikan dakwaan caj sewa tapak bazar Aidilfitri di Dataran Senawang melebihi kadar ditetapkan, menyatakan pertemuan antara penganjur dan peniaga terlibat menemui dakwaan tersebut tidak benar.
- Datuk Bandar MBS menegaskan tindakan tegas akan diambil ke atas penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan, termasuk pembatalan dan penarikan kebenaran menganjurkan bazar.
- Penganjur bazar di Dataran Senawang menyatakan semua tapak niaga telah dijual dengan harga berdasarkan saiz, tanpa sebarang masalah, dan mengecam isu harga tapak yang melampau.
Masri berkata pengadu yang mendakwa kadar sewa tapak melampau bagaimanapun tidak hadir dalam pertemuan hari ini, sedangkan individu terlibat seharusnya menampilkan bukti untuk MBS jalankan siasatan.
Beliau berkata MBS dalam hal ini akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan termasuklah membatalkan dan menarik kebenaran menganjurkan bazar.
Dalam pada itu, Masri berkata tiada bukti mengaitkan mana-mana pegawai MBS dengan dakwaan berkenaan dan beliau yakin semua pegawai di bawah pentadbirannya melaksanakan tugas dengan baik serta berintegriti.
"Jika ada orang dalam yang jadi broker, beritahu saya. Hari ini juga saya pecat pegawai tersebut sekiranya ada bukti kukuh. Kita bercakap mestilah berfakta, bukan sekadar khabar angin," katanya.
Beliau berkata kadar tapak niaga bazar Ramadan dan Aidilfitri telah dipamerkan di laman sesawang MBS untuk pengetahuan umum dan ketelusan dengan peniaga boleh merujuk harga di laman berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan.
Sementara itu, penganjur bazar di Dataran Senawang, Mohd Fadzliatul Fadilah Ab Rahim, 30, berkata semua 92 tapak niaga yang dikendalikannya sudah habis dijual mengikut harga ditetapkan, iaitu antara RM1,500 hingga RM3,500 berdasarkan saiz.
"Setakat ini saya tiada masalah, semuanya berjalan lancar. Kita kesal bagaimana isu ini boleh berbangkit sedangkan semua urusan perlu mengikut kadar ditetapkan, penganjur tidak boleh caj harga melebihi kadar ditetapkan MBS," katanya yang memasuki tahun kedua menguruskan bazar Aidilfitri di Dataran Senawang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


