SHAH ALAM: McDonald's Malaysia memfailkan saman sivil terhadap terhadap Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia).

McDonald's menerusi satu kenyataan mengesahkan tindakan itu dilaksanakan berdasarkan nasihat undang-undang luar, bagi melindungi hak dan kepentingan syarikat makanan segera itu.

“Kami telah menyatakan dengan telus dan konsisten bahawa McDonald's Malaysia tidak menyokong dan tidak membenarkan konflik semasa di Timur Tengah dan seperti semua rakyat Malaysia, kami bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami telah menyumbangkan sejumlah RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin yang dilancarkan oleh kerajaan dan akan terus berdoa agar konflik berakhir dan keamanan berterusan di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu berkata, syarikat itu mengulangi pendirian bahawa McDonald's Malaysia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti atau yuran francais daripada operasi restoran untuk menyokong sebarang sebab politik atau konflik di mana-mana bahagian dunia.

“Walaupun kami memahami dan menghormati bahawa tindakan memboikot adalah keputusan individu, kami percaya bahawa ia harus berdasarkan kebenaran,” ujarnya,

Sementara itu BDS Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan telah menerima telah menerima writ saman daripada McDonald’s baru baru ini yang mendakwa ia memfitnah syarikat tersebut.

“BDS Malaysia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar di negara ini yang menyeru orang awam, pertubuhan dan kerajaan Malaysia memboikot Israel dan organisasi-organisasi yang terbabit dengan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin,” katanya.

BDS Malaysia berkata, ia telah melantik firma guaman, Raja Riza and Associates dan selepas berunding dengan peguamnya gabungan tersebut akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci -Sinar Harian