SERENDAH: MCE Holdings Bhd (MCE) melalui anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd akan melabur sekitar RM150 hingga RM200 juta dalam tempoh 10 tahun untuk membangunkan kemudahan baharu di sini.

Untuk fasa yang pertama, MCE Auto Hub akan menyaksikan pelaburan awal sebanyak RM50 juta dan sejurus ia siap dibina, hab itu bakal menjadi kilang pengeluaran utama MCE yang akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap komponen dan sistem elektronik yang canggih dalam kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata pelaburan ini melambangkan matlamat mereka untuk menjadi pemimpin dalam membekalkan elektronik automotif dan bahagian mekatronik, serta turut membekalkan produk yang canggih dimana ia direka, dikeluarkan dan dibuat di Malaysia.

“Saya teruja untuk berkongsi bahawa MCE bakal melabur sebanyak RM150 juta hingga RM200 juta dalam tempoh sepuluh tahun yang akan datang.

“Ini menunjukkan dedikasi kami terhadap inovasi untuk membolehkan (pihak) kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk komponen elektronik canggih bagi kenderaan EV dan ICE,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis permulaan pembinaan kilang MCE Auto Hub di Serendah pada Jumaat.

Tambahnya, lokasi strategik Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW menawarkan kelebihan logistik dan kos yang signifikan, menjadikan mereka lebih dekat dengan beberapa pelanggan, rakan kongsi dan pembekal.

“Kedudukan kilang yang berdekatan ini memudahkan kerjasama yang lebih mampan dan membantu kami membangunkan ekosistem tempatan yang kukuh dalam elektronik automotif, sekali gus menyumbang kepada keseluruhan sumbangan ekonomi oleh industri ini.

Majlis yang telah diadakan di Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW itu dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han, dan Ketua Pengawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut berkata industri automotif akan sentiasa menjadi sektor ekonomi yang penting bagi Malaysia dan sekali gus mempunyai potensi yang besar untuk negara menjadi pusat automotif serantau dalam ASEAN.

“Saya juga teruja untuk berkongsi bahawa seperti apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri beberapa hari yang lalu, MITI kini sedang menyusun Pelan Strategik Semikonduktor yang komprehensif untuk memastikan Malaysia terus kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan untuk sektor strategik ini.

“Dan kerana semikonduktor ini juga termasuk dalam bidang sektor automotif, kami (MITI) meramalkan bahawa ia turut akan membantu MCE untuk terus menghasilkan produk teknologi yang canggih yang direka dan dibuat di Malaysia,” katanya lagi.