KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meminta syarikat Meta menurunkan sebuah video berita Bernama TV yang diolah secara palsu menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di sebuah akaun Facebook.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata beliau sendiri telah menghantar pautan video itu yang memaparkan wajah penyampai berita Bernama TV membaca laporan mengenai skim pelaburan meragukan untuk diambil tindakan selanjutnya oleh suruhanjaya berkenaan.

"Ini bukan kali pertama orang jahat, scammer guna pakai teknologi AI untuk cipta atau buat video seperti ini, beberapa bulan dulu, saya pun ada nampak ada pihak guna pakai video (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ucapan beliau ditukar kononnya menyeru orang ramai menyertai skim pelaburan.

"Kita tidak boleh nafi bahawa teknologi AI ini ada banyak kebaikan tetapi ada juga risiko ia diguna pakai scammer untuk tujuan penipuan, jadi sangat penting apabila orang ramai terima atau lihat video seperti ini bolehlah hantar aduan kepada Meta atau MCMC," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menjadi tetamu program The Nation: Future of Media and Communications terbitan Bernama TV di Wisma BERNAMA di sini hari ini.

Teo berkata ketika ini, pihak berkuasa turut berdepan cabaran dalam mengenal pasti pemilik akaun kerana ada antara mereka yang beroperasi dari luar negara.

"Tiada jaminan video (palsu) baharu tidak dicipta lagi, sebelum ini guna video PMX, sekarang video Bernama, jadi sebagai pengguna Internet, kita perlu berhati-hati," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar memastikan kesahihan setiap maklumat dan berita yang diterima dengan menggunakan pelbagai platform semakan fakta selain meningkatkan literasi digital masing-masing.

"Kita perlu berhati-hati tentang pelbagai risiko yang wujud dalam dunia digital ini memandangkan Malaysia antara negara yang menyaksikan warga kita menghabiskan masa paling lama melayari Internet, purata masa kita menghadap skrin ialah 8 jam 6 minit sehari," katanya.

Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali pula berkata beliau telah membuat satu laporan polis berhubung video terbabit hari ini.

Beliau berkata terdapat dua video berita Bernama TV palsu yang dimuat naik oleh akaun Facebook berbeza iaitu atas nama Cyber Community Convergence dan Exactly Straight.

-- BERNAMA