MCMC laksana segera hasrat perdana menteri perkukuh keselamatan data negara - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bergambar bersama tetamu yang hadir pada International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan segera hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh keselamatan data negara melalui pelaksanaan dasar Sovereign AI Cloud atau pengkomputeran awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat.
Ringkasan AI
- MCMC akan melaksanakan dasar Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion seperti diumum Perdana Menteri bagi memperkukuh keselamatan dan kedaulatan data negara.
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan dikawal bersama MKN, Kementerian Digital dan Jabatan Digital untuk lindungi maklumat sensitif daripada ancaman siber.
- MCMC juga akan bertindak terhadap penyebaran video kes rogol pelajar yang tular dan menasihatkan orang ramai berhati-hati agar tidak melanggar undang-undang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan bersempena dengan International Young Future Leaders Summit (iFuture) 2025 yang turut menampilkan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Fahmi berkata Sovereign AI Cloud akan menjadi satu tonggak utama dalam melindungi data kerajaan dan maklumat sensitif daripada ancaman siber serta memastikan tadbir urus digital negara kekal berdaulat.
Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada Jumaat lepas mengumumkan bahawa Sovereign AI Cloud akan dibina oleh MCMC dengan pelaburan RM2 bilion.
Sementara itu, berhubung dengan permintaan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya MCMC menurunkan video berkaitan kes rogol pelajar yang tular menerusi media sosial baru-baru ini, Fahmi berkata MCMC akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit.
Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam perkongsian kandungan di platform digital mengenai perkara itu.
"Kita perlu sentiasa berhati-hati. Sekiranya sesuatu kandungan melanggar undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak, Akta Komunikasi dan Multimedia atau Kanun Keseksaan, tindakan boleh diambil terhadap mereka yang menyebarkannya," katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan itu diambil bagi memastikan video berkenaan tidak terus disebarkan kerana membabitkan aib pelajar terbabit yang disyaki berlaku di sebuah sekolah di Melaka pada 2 Okt lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami