KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahu media sosial serta platform digital dipertanggungjawabkan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang seragam selain menerapkan prinsip "mengutamakan keselamatan" bagi menjamin perlindungan pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan bawah umur.
Penasihat Kanan (Operasi) MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata, aspek keselamatan dan perlindungan harus kekal sebagai keutamaan utama seiring dengan kemajuan teknologi, sambil mengingatkan bahawa keutuhan sesuatu ekosistem digital bergantung pada keberkesanan tahap perlindungan yang disediakan.
"Apabila bercakap mengenai ruang digital, perkara paling utama ialah aspek keselamatan dan perlindungan… kita bukan hanya bercakap tentang golongan dewasa yang berada dalam talian; terdapat juga isu melibatkan kanak-kanak dan golongan bawah umur yang menggunakannya.
"Kekuatan sesebuah rumah bergantung pada asas dan dinding yang dibina... kita sudah mempunyai undang-undang namun ia hanya akan berkesan sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan dengan tegas," katanya dalam temu bual sempena Persidangan M360 ASEAN 2026 di sini.
Beliau berkata, ketika Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digubal, perkhidmatan aplikasi dikecualikan daripada pelesenan bagi merancakkan penyertaan, memupuk keterangkuman serta menggalakkan inovasi teknologi.
Bagaimanapun, Zulkarnain berkata, kepantasan gangguan teknologi serta kemunculan pelbagai bentuk kemudaratan dalam talian termasuk penipuan dan penjualan haram kontraban dan bahan terlarang memerlukan campur tangan kawal selia.
"Pihak kawal selia lazimnya hanya campur tangan dari sudut ekonomi apabila berlaku kegagalan pasaran namun dalam aspek ini, saya tidak akan mengatakan bahawa berlaku kegagalan sebaliknya terdapat keperluan untuk mewujudkan garis panduan bagi mencegah penyalahgunaan atau salah guna kuasa."
"Kita telah melihat bagaimana algoritma boleh mewujudkan ketagihan; itu bukan mengutamakan keselamatan. Oleh itu, kita perlu menetapkan prinsip tertentu dan meletakkan platform-platform ini di bawah kerangka kawal selia bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, langkah meletakkan platform terbabit di bawah kerangka kawal selia semata-mata tidak mencukupi, sambil menambah bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Jan 2026 bagi meletakkan tanggungjawab lebih besar ke atas platform untuk menangani kemudaratan dalam talian khususnya sembilan kategori yang telah dikenal pasti.
Menyentuh mengenai tahap pematuhan yang berbeza, Zulkarnain berkata, MCMC telah mengemukakan 7,133 permintaan untuk menurunkan kandungan berkaitan penjualan ubat terlarang namun kadar pematuhan menunjukkan perbezaan yang ketara antara platform.
Zulkarnain berkata, Telegram mencatat kadar pematuhan 100 peratus diikuti TikTok pada kadar 99 peratus dan Facebook dengan 92 peratus.
"Pengaruh itu berada di pihak mereka. Kita hanya membuat permintaan. Namun, jika tiada kepastian atau tahap pematuhan tidak seimbang, ia turut mewujudkan ketidakseimbangan dari segi penguatkuasaan.
"Apa yang kita harapkan ialah wujudnya medan persaingan yang sama rata dan SLA yang seragam merentasi semua platform," katanya sambil menegaskan bahawa platform perlu menggunakan sistem mereka secara proaktif bagi melindungi pengguna.
Beliau berkata, kelangsungan jangka panjang sesebuah platform bergantung pada kepercayaan pengguna dan memberi amaran bahawa penipuan yang tidak dibendung akan menyebabkan orang ramai menjauhkan diri, sambil mengulangi keperluan memupuk ekosistem digital yang dipercayai tanpa menyekat inovasi teknologi.
M360 ASEAN 2026, yang dianjurkan oleh GSMA pada 9 dan 10 Sept, menghimpunkan para menteri, pengawal selia dan pemimpin industri bagi membincangkan isu kepercayaan digital, kecerdasan buatan, infrastruktur berdaya tahan serta integrasi digital serantau.
Acara itu, yang julung-julung kali diadakan di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dengan MCMC bertindak sebagai rakan penganjur.
-- BERNAMA