KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berjaya menyekat sebanyak 2.6 bilion panggilan yang disyaki terlibat dalam perlakuan jenayah secara dalam talian setakat September tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata menerusi kerjasama bersepadu bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pula, MCMC turut mengambil tindakan menyekat nombor telefon digunakan scammers.

"Dari Oktober 2022 hingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,732 kes diterima dan dirujuk pada MCMC, 134 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 21 nombor talian yang meragukan telah disekat.

"MCMC turut sekat laman sesawang bagi mencegah perlakuan kesalahan di bawah undang-undang negara termasuk aktiviti berkaitan penipuan dan scam. Sejak 1 Jan 2023 hingga 30 Ogos tahun ini, sebanyak 1,247 laman sesawang berkaitan penipuan dan scam untuk pemancingan maklumat (pishing) telah disekat MCMC," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan kepada soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu jumlah kerugian dan jumlah mangsa scammer sejak awal tahun ini.

Ramkarpal berkata negara merekodkan 19,222 kes penipuan melibatkan kerugian berjumlah lebih RM687 juta bagi tempoh Januari hingga 30 Sept tahun ini, menurun berbanding 25,609 kes yang direkodkan pada 2018 dengan melibatkan kerugian RM23 bilion.

"Berhubung pendakwaan dan hukuman dalam kes scam bagi tempoh 2021 hingga Julai 2023, sebanyak 183 pertuduhan telah dibuat di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan 617 individu telah dijatuhkan hukuman," katanya.

Sementara itu bagi tempoh sama, beliau berkata sebanyak 22,837 pertuduhan telah dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (penipuan) dengan 2,221 telah dijatuhkan hukuman.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani jenayah penipuan tersebut, antaranya menerusi penubuhan NSRC sejak Oktober lepas yang setakat ini telah menujukkan keberkesanan.

"Keberkesanan NSRC dapat dilihat apabila daripada Oktober 2022 hingga 30 Sept tahun ini, sebanyak 53,783 panggilan telah diterima yang merangkumi laporan kes penipuan dan khidmat nasihat kepada orang ramai," katanya.

Katanya NSRC juga sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang perlu dipinda termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA