Skip to main content

Malaysia

MCMC teliti pelbagai kaedah pengesahan umur had 16 tahun untuk media sosial - Teo

KULAI, 7 Mac -- Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching bercakap kepada pemberita pada Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong hari ini.  --fotoBERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MCMC ketika ini telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian. - Foto BERNAMA

KULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan pada suku kedua tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MCMC ketika ini telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian.

Advertisement

Beliau berkata proses berkenaan dijalankan bersama dengan platform media sosial terlibat melalui regulatory sandbox atau medan uji.

"Di Malaysia kita memang ada (kaedah pengesahan umur seperti) kad pengenalan, pasport serta MyDigital ID.

"Tetapi, pada masa sama, MCMC turut terbuka untuk menerima atau mempertimbangkan kaedah lain untuk pengesahan umur," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Serahan Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen Kulai Sempena Ramadan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung perkara itu.

Kerajaan dilaporkan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun untuk pembukaan akaun.

Sementara Indonesia bakal menjadi negara bukan Barat pertama yang melarang akses kepada platform digital berisiko tinggi bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bermula pada 28 Mac ini.

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata sebanyak RM93,000 peruntukan sumbangan disalurkan kepada 30 masjid dan 57 surau di kawasannya bersempena dengan Ramadan tahun ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video