Skip to main content

Malaysia

MCMC terima aduan salah guna AI hasilkan video berunsur seksual

MCMC memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menjalankan siasatan kes itu termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan serta Polis Diraja Malaysia.
MCMC memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menjalankan siasatan kes itu termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan serta Polis Diraja Malaysia.

Advertisement

Ringkasan AI

  • MCMC menerima aduan mengenai penyalahgunaan AI di media sosial untuk menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video seksual melibatkan pelajar dan guru di Kedah.
  • Siasatan dijalankan bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
  • MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan seksual melibatkan kanak-kanak kerana boleh menjejaskan mangsa dan siasatan.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di media sosial untuk menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa melibatkan pelajar dan guru sebuah sekolah di Kedah.

MCMC memaklumkan akan bekerjasama dengan pihak berkaitan dalam menjalankan siasatan kes itu termasuk Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan serta Polis Diraja Malaysia.

“Penyalahgunaan AI untuk menghasilkan atau menyebarkan kandungan seksual yang boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa khususnya kanak-kanak tertakluk kepada tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Penyedia perkhidmatan berlesen juga mempunyai kewajipan perlindungan kanak-kanak di bawah Seksyen 18 Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA),” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, sekiranya disabit kesalahan, denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan manakala kesalahan dilakukan terhadap kanak-kanak memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan semula kandungan seksual yang melibatkan atau didakwa melibatkan kanak-kanak kerana tindakan sedemikian boleh memudaratkan mangsa serta menjejaskan proses siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diseru menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui saluran sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement