SHAH ALAM: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor menawarkan ganjaran wang tunai RM20,000 kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah yang terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, Disember lepas.

Timbalan Pengerusi MCPF Selangor Datuk Seri A Thaiveegan berkata, ganjaran diberikan sebagai satu daripada usaha dalam memastikan suspek terlibat dalam kes itu dapat segera didakwa di mahkamah.

"Ganjaran akan diberikan menerusi Polis Selangor dan kita telah mendapat persetujuan daripada Pengerusi MCPF sendiri berkaitan tawaran ganjaran ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Pada 5 Dis lepas, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman pada keesokannya. 

Berikutan itu, hasil siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Terdahulu, pada sidang media yang sama Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata walaupun pelbagai usaha yang dilakukan untuk menjejaki pembunuh kanak-kanak itu belum membuahkan hasil, pihaknya masih meneruskannya.

"Untuk kes ini, polis masih belum menemukan sesuatu yang kukuh bagi menjurus ke arah individu yang terlibat, itu kesulitan dialami kami. Walaupun begitu, polis masih meneruskan usaha," katanya. 

Berhubung kes 10 anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang disiasat berikutan penemuan wang tunai lebih RM3,000 semasa melaksanakan operasi, beliau berkata polis membuka siasatan tatatertib dan menyiasat kes mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Hussein berkata anggota dan pegawai polis yang menjalankan tugas operasi hanya dibenarkan membawa wang tunai maksimum RM100 dan sekiranya membawa lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mengisytiharkannya kepada penyelia sebelum keluar bertugas. 

-- BERNAMA