KOTA BHARU: Program Jelajah #SayaDigitalKeluargaMalaysia akan dilaksanakan di seluruh negara dan dibawa turun hingga ke akar umbi bagi memastikan hasrat merakyatkan e-dagang dalam kalangan usahawan tercapai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan melaksanakan program khusus bagi memastikan tiada jurang digital peniaga kecil, sederhana malah usahawan mikro.

"Lebih 200,000 usahawan seluruh negara terlibat dalam program yang dianjurkan MDEC tahun lepas, jadi kita sasar jumlah (penyertaan) lebih besar lagi sebab kita nak merakyatkan semua peniaga, tidak kira yang berniaga di tepi jalan sekalipun, supaya menyertai konsep e-dagang ini.

"Jadi usaha ini akan dibuat merentasi semua kawasan sempadan meliputi semua negeri secara berterusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah #SayaDigitalKeluargaMalaysiaParlimenKetereh@NegeriKelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini pada Ahad.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata beliau yakin MDEC yang diamanah untuk melaksanakan program itu mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang aktif dalam edagang.

"Saya tengok kaedah yang digunakan MDEC sangat sistematik, profesional, dan yang pentingnya juga perkongsian kisah-kisah kejayaan bagi memberikan motivasi kepada ramai untuk terlibat dalam e-dagang.

"Kita lihat konsep yang dilaksanakan sangat bersifar akar umbi apabila turut dibawa tokoh, pempengaruh, serta ikon yang boleh memberikan lagi keyakinan. Saya harap program ini akan dapat ditingkatkan lagi dan harap ia dapat dilaksanakan di semua kawasan di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA