GEORGE TOWN: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), menyasarkan untuk melatih dan melahirkan sejuta usahawan dalam bidang ekonomi digital menerusi program eUsahawan sepanjang tahun ini.

Pengerusi MDEC Syed Ibrahim Syed Noh berkata sejak diwujudkan pada 2015, sebanyak 563,543 usahawan di seluruh negara telah dilatih melalui program itu dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion.

Beliau berkata objektif utama program eUsahawan di bawah Jelajah Saya Digital (JSD) ialah latihan pembelajaran luar dan dalam talian untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital bagi menjana pendapatan, mempromosi produk serta meningkatkan jualan.

"Sejak 2015, MDEC berjaya melatih 563,543 usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion dan di Pulau Pinang sahaja, sejumlah 18,720 usahawan telah mengambil peluang dan menjana jualan terkumpul melebihi RM73 juta.

"Pada tahun ini, kita sasarkan melatih sejuta usahawan dalam bidang ekonomi digital menerusi Program eUsahawan di seluruh negara, peluang usahawan menjana lebih banyak pendapatan," katanya kepada pemberita selepas program JSD di Kompleks Bukit Jambul, Bayan Lepas dekat sini semalam,

Program itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang turut dihadiri Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata program JSD dijalankan dengan matlamat untuk membantu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan rakyat di seluruh negara.

Katanya, MDEC telah pun menjelajah ke serata pelosok negeri termasuk Pulau Pinang dengan tujuan memupuk kesedaran ramai, memperkasakan serta membantu menyuburkan lagi ekosistem ekonomi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Program itu telah menjelajah ke 55 lokasi dan berjaya melatih 20,894 peserta dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada 2021, bagi tahun ini MDEC menyasarkan sejumlah 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi," katanya.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat memperkasakan digital dalam kalangan rakyat, banyak program disediakan oleh MDEC menerusi JSD iaitu program eUsahawan, eRezeki, Global Online Workforce (GLOW) dan 100 Go Digital.

Menurut Syed Ibrahim, dalam siri JSD kali ini, MDEC turut menyediakan perkongsian berkenaan cara penggunaan platform pembelajaran kendiri ChatGPT.

Beliau berkata JSD juga dibawa ke Pulau Pinang bagi mewujudkan kesedaran rakyat tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dengan memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar tanpa meninggalkan penduduk luar bandar.

"Hal ini juga selari dengan inisiatif baharu diperkenalkan oleh kerajaan - AI Untuk Rakyat - untuk memberikan fahaman asas mengenai AI (kecerdasan buatan) agar kita lebih memahami teknologi yang boleh membawa manfaat dalam kehidupan," katanya.

Syed Ibrahim berkata seiring dengan visi Malaysia MADANI iaitu keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti itu agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat.

JSD ialah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, Orang Kurang Upaya, pelajar sekolah serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil, dan sederhana.

-- BERNAMA