KUALA LUMPUR: Penyedia Perkhidmatan Jalur Lebar Luar Bandar Malaysia, MEASAT Global Berhad (MEASAT) dan Parcel365 melancarkan inisiatif KampungDigital365.com untuk meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar menerusi aktiviti ekonomi digital.

Ia dilancarkan di Pos Sinderut, Kuala Lipis, kawasan yang merangkumi kira-kira 14 perkampungan Orang Asli dengan jumlah populasi lebih 4,000 penduduk.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan pelancaran itu berkata inisiatif tersebut selari dengan dasar kerajaan seperti Pelan Digital Pahang 2021-2025 yang menyasar untuk mewujudkan landskap sosioekonomi yang lebih inklusif.

“Dengan akses ekonomi digital yang lebih baik, penduduk luar bandar boleh mendapat sumber pendapatan, pendidikan dan hiburan baharu. Saya menggalakkan lebih ramai komuniti menerima model KampungDigital365.com ini,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor, merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Ho Chi Yang; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata inisiatif KampungDigital365.com, mengukuhkan lagi komitmen untuk merapatkan jurang digital, membantu memupuk semangat keusahawanan dan potensi produktiviti di kalangan pengguna CONNECTme NOW, disokong oleh penyelesaian logistik dan perniagaan yang khusus oleh Parcel365.

Inisiatif KampungDigital365.com turut menyediakan latihan keusahawanan dan bantuan pemasaran produk dalam talian menerusi platform Shopla365, bagi membantu penduduk kampung mengoptimumkan potensi ekonomi digital mereka.

Program itu turut menyediakan sebuah pusat perkhidmatan yang dilengkapi dengan komputer, mesin pencetak dan peralatan ICT yang lain, serta bantuan secara peribadi daripada pengendali apabila diperlukan.