Skip to main content

Malaysia

Media sosial: Pengesahan umur minimum 16 tahun guna MyKad diwajibkan

41462648835_MyKad.jpg
Kementerian Komunikasi memaklumkan langkah itu dilaksanakan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun pada platform berkenaan.

Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini memaklumkan langkah itu dilaksanakan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026. 

"Pengesahan umur hendaklah dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. Bagi memastikan pematuhan, MCMC sedang memantau pelaksanaan CPC oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

“MCMC telah mengeluarkan notis bertulis di bawah subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan dan langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan umur," menurut kementerian itu.

Di bawah Akta 866, Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta serta denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan.

Selain itu, MCMC juga boleh mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan hingga RM10 juta mengikut peruntukan akta berkenaan.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan Akta 866 dan CPC dalam melindungi kanak-kanak daripada buli siber, eksploitasi seksual, kandungan berbahaya dan ketagihan media sosial.

Mengenai penguatkuasaan terhadap penipuan dalam talian yang melibatkan iklan berbayar, akaun palsu, serta kandungan dan laman sesawang memudaratkan, sebanyak 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan (scam) dan akaun palsu telah dikemukakan MCMC bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 31 Julai 2026, dengan 279,875 daripadanya (96 peratus) telah diturunkan. 

Menurut kementerian, bagi iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan, sebanyak 20,114 permohonan telah dikemukakan dan 17,285 kandungan (86 peratus) telah diturunkan.

"Dalam tempoh yang sama, sebanyak 17,418 laman sesawang telah disekat, melibatkan  5,103 kes (29 peratus) berada di bawah bidang kuasa MCMC, manakala 12,315 kes (71 peratus) adalah di bawah bidang kuasa agensi-agensi lain.

"Tindakan penurunan kandungan, sekatan akaun dan sekatan laman sesawang dilaksanakan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti platform serta undang-undang yang berkuat kuasa," menurut kementerian itu.

Kementerian Komunikasi menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berkenaan bentuk tanggungjawab platform media sosial berlesen terhadap iklan berbayar yang menipu pengguna, termasuk tindakan pemadaman kandungan, sekatan akaun dan perkongsian maklumat pengiklan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2026, MCMC telah mengemukakan 14,169 permohonan penurunan kandungan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) kepada pemberi perkhidmatan. 

Menurut jawapan itu, daripada jumlah berkenaan sebanyak 8,750 kandungan (62 peratus) telah diturunkan berdasarkan aduan yang diterima, garis panduan komuniti platform dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

Dalam tempoh sama, MCMC telah menyiasat 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta 588 melibatkan isu 3R, merangkumi 22 kes telah didakwa di mahkamah, dengan 16 kes telah diputuskan dan enam kes masih dalam prosiding. 

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berkenaan tindakan terhadap individu yang berulang kali menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menghasut masyarakat. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement