KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata pihaknya kecewa dengan keputusan Fomema Sdn Bhd menaikkan yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan untuk pekerja asing tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu dengan pihak berkepentingan. 

MEF berkata syarikat-syarikat hanya mengetahui tentang kenaikan yuran dan kekerapan pemeriksaan apabila melawat laman web Fomema. 

Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata sehingga kini, tiada pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa kerajaan berhubung kenaikan yang dibuat oleh Fomema, yang berkuat kuasa 16 Disember 2023. 

“Sebelum ini pekerja asing perlu membuat pemeriksaan kesihatan sehingga tiga tahun secara berterusan dan tidak perlu melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sehingga tujuh tahun kemudian.

"Keperluan untuk pemeriksaan kesihatan kemudiannya ditukar kepada setiap tahun bergantian tetapi kini Fomema menukar keperluan untuk pekerja asing kepada setiap tahun. 

“Fomema juga secara unilateral menaikkan yuran sebanyak 10% kepada 14%. Dengan kira-kira dua juta pekerja asing, majikan perlu menanggung [kos] kira-kira RM414 juta setahun untuk pemeriksaan perubatan Fomema pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini. 

MEF menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil bahagian dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan, serta supaya kenaikan yuran dan kekerapan pemeriksaan digantung sementara itu. 

Sebelum pengumuman kenaikan yuran pemeriksaan perubatan pekerja asing, caj oleh Fomema ialah RM190 bagi lelaki dan RM207 bagi pekerja asing wanita meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis dan kehamilan, termasuk penggunaan opiat dan kanabis.

Yuran kini dinaikkan kepada RM207 bagi lelaki dan RM217 bagi perempuan dan diperluaskan kepada tiga kategori baharu iaitu filariasis (cacing gelang), Hepatitis C dan methamphetamine.- Dagang News