Bekas Presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri memuji inisiatif Malaysia dalam usahanya menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Megawati yang berada di negara ini bagi menghadiri Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak Kanak: Hentikan!!! bermula esok, berkata program itu, yang diilhamkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, diadakan tepat pada masanya memandangkan masalah itu kini membelenggu dunia.

"Dalam ucap tama saya (pada persidangan itu), saya akan menekankan bahawa banyak undang-undang yang telah digubal Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya, namun apa yang lebih penting adalah pelaksanaannya," kata beliau pada sidang media sebelum majlis makan malam di Seri Perdana di sini, malam ini.

BACA: Penceramah dari UK akan berkongsi pengalaman pesalah seks

BACA:
Ibu bapa harus dengar aduan kanak-kanak - Dr Zahilah

Majlis makan malam itu dihoskan Rosmah bagi meraikan ketibaaan Presiden Indonesia kelima itu ke Malaysia.

Sementara itu, Rosmah yang juga Penaung PERMATA berkata kehadiran Megawati pada persidangan itu adalah titik permulaan kerjasama wanita Malaysia dan Indonesia dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Saya berharap dapat bekerjasama dengan lebih erat lagi selepas ini...ini baru permulaannya," kata Rosmah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching serta jurucakap bagi mempromosikan seminar tersebut iaitu Lisa Surihani, Harith Iskander dan Hunny Madu. Megawati tiba di Malaysia pada 6.08 petang tadi bersama-sama Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia Puan Maharani dan Menteri Kesihatan Indonesia Nila Djuwita Anfasa Moeloek. Megawati dijadual menyampaikan perutusan khas bertajuk 'Kerjasama ASEAN dalam Membanteras Jenayah Seksual Kanak-kanak' pada persidangan itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur Selasa ini.

-- BERNAMA