BATU PAHAT: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis lebih 60 kilogram, bulan lepas.

Mohd Borhan Saim, 37, didakwa mengedar kanabis seberat 63,120 gram di tepi Jalan Kampung Parit Selamat, Mukim 7, Yong Peng di sini, pada 8.30 malam, 26 Mac lepas.

Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA