MALAYSIA
Mekanisme BUDI95: 14 perkara penting untuk rakyat tahu

Kerajaan tidak menetapkan had pembelian harian bagi BUDI95. - Gambar hiasan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin mengumumkan semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 pada harga RM1.99, sehingga 300 liter sebulan, bermula 30 September.
Berikut ialah 14 perkara penting berkaitan mekanisme pelaksanaan BUDI95 untuk rakyat tahu, berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan.
1. Di mana boleh beli?
BUDI95 boleh dibeli di semua stesen minyak di Malaysia.2. Adakah pembelian lebih sukar dengan MyKad?
Tidak. MyKad hanya diperlukan sekali di awal proses untuk sahkan kelayakan. Bayaran boleh dibuat seperti biasa (tunai, kad kredit/debit, e-dompet).
3. Jenis MyKad yang diterima
Semua warganegara Malaysia dengan MyKad dan lesen memandu aktif layak. MyKad lama dengan cip sejak 2001 masih boleh digunakan. Untuk MyKad rosak atau belum ada cip, perlu tukar di JPN.
4. Situasi perlu tukar MyKad
- Kad gagal dibaca di mesin/kios
- Bank/agensi kerajaan menolak transaksi
- Kad perlu diimbas berkali-kali atau rosak fizikal
- Kad terlalu lama (>10 tahun)
5. Cara beli BUDI95
Hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad sebelum beli. Untuk e-wallet atau aplikasi minyak, buat e-KYC sekali sahaja. Semua stesen berdaftar menyokong tunai; kaedah lain ikut kesediaan stesen.
6. Boleh guna BUDI95 untuk kegunaan selain kenderaan (Contoh: Bot memancing, Dram komuniti)?
Ya, dengan permit khas KPDNHEP, tetapi setiap pembelian akan mengurangkan baki subsidi untuk kegunaan peribadi.
7. Perlukan lesen semasa pembelian?
Tidak. Hanya MyKad digunakan untuk pengesahan.
8. Jika tidak layak di portal
Sistem akan beri kod tidak layak dan sebab. Rakyat boleh kemas kini maklumat di JPJ atau JPN, kemudian semak semula di portal budimadani.gov.my.
9. Jika MyKad tidak dibaca di stesen
Staf akan cuba 3 kali imbasan. Jika masih gagal, nombor MyKad boleh dimasukkan secara manual. Rakyat disarankan kemas kini MyKad jika rosak atau lama.
10. Jika sistem stesen minyak terganggu
Stesen minyak mempunyai perancangan kesinambungan perniagaan (BCP) supaya rakyat tetap boleh membeli RON95 bersubsidi RM1.99 seliter walaupun internet terganggu.
11. Adakah had pembelian sekali sehari?
Tidak. Tiada had sekali sehari. Tujuan BUDI95 adalah memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia dan elak penyalahgunaan.
12. Kenapa subsidi tidak diberi terus seperti STR?
BUDI95 guna kaedah subsidi bersasar untuk pastikan pengurusan kewangan negara lebih cekap dan mampan. Petrol RON95 bersubsidi disasarkan khusus kepada rakyat Malaysia yang layak, supaya digunakan untuk pengangkutan seharian dan elak ketirisan.
13. Bagaimana MyKad dilindungi daripada penyalahgunaan?
Maklumat peribadi dalam MyKad dilindungi melalui sistem terkawal dan teknologi pengesahan terkini. Semua padanan data dikendalikan oleh pangkalan data berpusat (CDB) Kerajaan, mengikut piawaian keselamatan dan prinsip perlindungan data.
14. Adakah syarikat minyak atau aplikasi pembayaran boleh akses maklumat peribadi saya?
Tidak. Berdasarkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), data hanya boleh diakses dengan kebenaran anda semasa pembayaran melalui e-KYC. Aplikasi pembayaran tidak boleh mengakses maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami