ALOR GAJAH: Melaka dijangka mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin COVID-19 dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Kamel Mohamad berkata, setakat pagi ini, sebanyak 89.51 peratus populasi dewasa di negeri itu sudah lengkap menerima vaksin COVID-19.

Sementara bagi populasi remaja pula, 80. 09 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Dalam konteks vaksinasi di Melaka kita sudah mencapai 65.01 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk telahpun divaksinkan dan kalau kita tengok daripada peratus populasi dewasa yang telah lengkap divaksin (pula) sudah mencecah 89.51 peratus, iatu hampir  90 peratus daripada populasi dewasa menerima lengkap vaksin,’” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) kepada Orang Asli suku Temuan di Kampung Solok Bukit Putus, Tebong di sini pada Khamis.

Dalam program itu, seramai 60 remaja masyarakat Orang Asli termasuk 10 orang yang berusia 18 tahun ke atas menerima suntikan vaksin.

Sebelum ini, kata Kamel, seramai 840 Orang Asli di negeri itu telah melengkapkan suntikan daripada 2,057 populasi golongan itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,180 Orang Asli yang layak divaksin dan kini hanya 340 masyarakat itu sedang dalam proses menunggu bagi melengkapkan dos kedua vaksinasi.