MELAKA: Kerajaan negeri Melaka menggesa agar pembinaan Loji Sisa ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini dapat disegerakan kepada tahun hadapan, berbanding jadual asalnya pada 2026.

Menteri Besar Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata semua pihak terlibat dalam pembangunan loji WTE itu juga diharap dapat memudah pelaksanaannya kerana projek berkenaan sangat penting buat rakyat negeri Melaka.

Beliau berkata pembinaan WTE itu bukan sahaja dapat menangani masalah lambakan sampah di tapak pelupusan berkenaan yang semakin meningkat yang kini melebihi 1,100 tan sehari, malah ia juga dapat memberi keselesaan kepada rakyat.

"Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Sungai Udang adalah satu-satunya kawasan pelupusan sisa pepejal berjadual di negeri ini dan ia menjadi kegusaran rakyat agar projek ini dapat dipercepatkan khususnya dalam aspek rundingan harga dan terma serta syarat projek.

"Lagi lambat proses rundingan, lagi lambat projek berjalan, maka tapak pelupusan ini makin penuh dan keharmonian masyarakat sekeliling perlu diambil kira seperti pencemaran bau dan lalat kerana ia menyebabkan rakyat tidak selesa," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Sungai Udang di sini yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Muhamad Zaini Hasnan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata kerajaan negeri telah memberi kerjasama yang baik dalam isu pengambilan tanah di kawasan terlibat bagi membangunkan WTE itu namun pelaksanaannya masih di peringkat rundingan beberapa pihak terlibat antaranya Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Malakoff Corporation Bhd (MCB).

Beliau berkata tapak pelupusan sedia ada untuk menampung pembuangan sisa pepejal bagi Melaka semakin terhad dan sebahagian sel tanah di tapak pelupusan itu dijangka penuh pada Julai tahun ini manakala sel tanah lain dijangka penuh dalam tempoh dua tahun lagi.

Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang telah beroperasi pada 2015 dan ia merupakan satu-satunya lokasi pembuangan sisa buangan bagi tiga daerah di Melaka.

Projek WTE yang bernilai lebih RM700 juta itu akan dibangunkan menggunakan teknologi dari Jepun menerusi kerjasama awam swasta dan loji itu dijangka dapat memproses 800 tan sampah sehari.

Projek itu dibangunkan menerusi tender terbuka yang telah dikeluarkan pada 29 Jan 2021 dan tempoh konsesi projek itu adalah selama 34 tahun.

-- BERNAMA