MELAKA: Kerajaan negeri Melaka akan bekerjasama dengan wilayah Pekanbaru dan Dumai di Riau, Indonesia dalam memulihkan semula sektor pelancongan masing-masing yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Exco Pelancongan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata kerjasama berkenaan akan dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada hujung bulan depan, bergantung pada situasi semasa penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata MoU berkenaan memberi penekanan terhadap kerjasama membangunkan produk pelancongan bas elektrik dan pelancongan kesihatan.

"Kita telah mendapat tempat di Lapangan Terbang Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru untuk Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka mempromosikan produk pelancongan dari negeri ini terutama hospital swasta kita dan elemen pelancongan yang merangkumi 13 subsektor.

"Provinsi Riau mempunyai penduduk seramai 11 juta orang dan sekiranya kita dapat menarik mereka untuk melancong ke Melaka, sedikit sebanyak dapat membantu sektor pelancongan pada pasca COVID-19 nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penyerahan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan kepada warga penarik beca di pekarangan Stadthuys di Banda Hilir di sini pada Isnin.

Pada program anjuran BPP dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka itu, 12 pengayuh beca hadir sebagai simbolik penyerahan Jalur Gemilang dan mereka turut menerima cenderahati daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang disampaikan Setiausaha Khasnya Datuk Nur Azmi Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani berkata kerajaan negeri juga akan melancarkan Kempen 'Rindukan Melaka' pada November depan dalam usaha membangunkan sektor pelancongan negeri itu.

Beliau berkata buat permulaan kempen berkenaan akan menyasarkan pelancong domestik setelah Melaka melangkah ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu, beliau berkata lebih 300 pengayuh beca di Melaka akan dibekalkan kit bantuan cegah COVID-19 bagi mengekang penularan COVID-19 setelah sektor pelancongan negeri itu dibenar beroperasi.

Menurut beliau kit bantuan itu mengandungi antaranya kit ujian kendiri COVID-19, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka dianggarkan bernilai antara RM70 hingga RM100.

"Pengayuh beca merupakan duta kecil pelancongan Melaka dan mereka berisiko terdedah dengan jangkitan sekiranya tidak berhati-hati kerana mereka berinteraksi secara terus dengan orang ramai," katanya.

-- BERNAMA