MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memberi pengurangan Caj Borang Deklarasi Kastam kepada pengilang di Kawasan Perindustrian Zon Bebas Batu Berendam dan Tanjung Kling berkuat kuasa Januari tahun depan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Caj Borang Deklarasi Kastam dikurangkan daripada RM10 kepada RM6 itu melibatkan jumlah perisytiharan kastam melebihi 5,000 borang setiap bulan bagi setiap pengilang di Kawasan Perindustrian Zon Bebas berkenaan.

Beliau berkata Caj Antara Zon di dua Kawasan Perindustrian Zon Bebas itu juga dimansuhkan bagi pergerakan barang antara syarikat yang sama.

"Pelaksanaan inisiatif ini dijangka melibatkan 25 pengilang atau pihak industri di dua Kawasan Perindustrian Zon Bebas berkenaan sekali gus memberi pulangan yang baik kepada mereka.

"Ia juga secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan negeri berusaha untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri mesra pelabur dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan nilai pelaburan pada masa depan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bangunan Baharu Infineon Technologies (M) Sdn Bhd di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG Dr Rutger Wijburg.

Ab Rauf berkata dua inisiatif itu dilaksanakan di bawah Invest Melaka Berhad dalam usaha memudah cara urusan perniagaan dan pelaburan di negeri itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menambah baik proses kerja agar lebih cepat dan efisien.

Sementara itu, dalam ucapan, Ab Rauf berkata beliau gembira bahawa Infineon Technologies Melaka terus mengembangkan operasinya dan memperbesarkan kemudahan pembuatannya, menjadikannya tapak pembuatan terbesar untuk Infineon dan majikan terbesar di negeri Melaka.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa sehingga hari ini, tenaga kerja telah meningkat kepada hampir 11,000, menjadikan Infineon Technologies antara tonggak utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Kerajaan negeri Melaka komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan dan pembangunan industri semikonduktor Melaka pada masa depan, termasuk membangunkan kemahiran pekerja dan meningkatkan keupayaan asas bekalan.

"Kami yakin usaha kami akan terus berkembang untuk manfaat rakyat dan pembangunan ekonomi kita," katanya.

-- BERNAMA