Skip to main content

Malaysia

Melaka letak asas kukuh pembangunan landskap negeri lindungi pokok bernilai tinggi - Ab Rauf

MELAKA, 7 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Anwar (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026). Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua, kanan) dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf (dua, kiri). - Foto BERNAMA
Advertisement

MELAKA: Melaka berjaya meletakkan asas yang kukuh dalam pembangunan landskap negeri dengan menguatkuasakan Perintah Pemeliharaan Pokok di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) bagi melindungi pokok bernilai tinggi yang menjadi aset landskap negeri.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, asas itu terus diperkukuh menerusi pengenalan Garis Panduan Landskap Negeri Melaka pada 2022 yang menjadi rujukan utama kepada agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemaju serta seluruh pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan landskap dilaksanakan secara terancang, berkualiti, beridentiti dan mampan.

"Lebih penting lagi, Melaka turut memperkukuh pendigitalan landskap menerusi pembangunan sistem MyTrees@Melaka yang merupakan satu inovasi negeri yang mentransformasikan pengurusan pokok secara lebih cekap, sistematik dan bersepadu.

"Sejak dibangunkan pada 2017, sebanyak 70,753 data inventori pokok telah direkodkan hingga tahun ini menerusi penglibatan keempat-empat PBT bersama Jabatan Perhutanan Melaka," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Ab Rauf berkata, pada masa sama, Kerajaan Negeri Melaka terus mempergiat usaha penghijauan negeri dan setakat Jun lepas, sebanyak 10,588 batang pokok telah berjaya ditanam di seluruh Melaka.

Beliau berkata, bersandarkan asas yang telah dibina, kerajaan negeri juga sedang merealisasikan Aspiring Melaka Geopark sebagai penghubung antara warisan geologi, biodiversiti, budaya dan identiti tempatan yang mencerminkan keunikan Melaka.

Melalui usaha itu, katanya, khazanah landskap Melaka bukan sahaja dipelihara keindahannya malah dimanfaatkan sebagai wadah pendidikan, konservasi serta tarikan pelancongan berasaskan alam dan komuniti yang mampun menjana nilai ekonomi secara mampan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, tiga projek landskap utama telah dilaksanakan di Melaka tahun lepas iaitu pembangunan SDG Park @ Sungai Melaka, pembangunan Taman Rekreasi Kampung Felda Air Kangkung dan Taman Kejiranan Pulai Indah.

"Kesinambungan usaha itu diteruskan tahun ini menerusi tiga lagi projek Taman Rekreasi MADANI melibatkan naik taraf landskap Dataran Sejarah Ayer Keroh dan Lanai Seni Ayer Keroh serta naik taraf Taman Rekreasi MADANI Bukit Beringin Masjid Tanah,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam berjaya menghimpunkan hampir 3,000 peserta terdiri dalam kalangan profesional seni bina landskap, wakil PBT, pemain industri, ahli akademik serta pencinta landskap dari seluruh negara dalam satu gelanggang yang mempertemukan idea, inovasi dan kepakaran.

Ab Rauf berkata, sebanyak 12 astaka PBT yang menampilkan kreativiti, inovasi dan identiti landskap masing-masing turut dibangunkan, sekali gus menjadikan sambutan berkenaan sebagai platform perkongsian idea serta amalan terbaik dalam memperkasakan landskap negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement