MELAKA: Kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan agar pengisian perjawatan tetap sehingga mencapai siling yang ditetapkan iaitu 92 peratus diluluskan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan pengisian jawatan tetap setakat ini adalah 83.9 peratus dengan jumlah keseluruhan penjawat awam di Melaka ialah 36,300 orang merangkumi lantikan tetap dan kontrak dari pelbagai skim, jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan.

Katanya pertimbangan kelulusan itu juga berdasarkan Melaka antara negeri yang tidak boleh menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri, yang pihak berkuasa melantik semua penjawat awam sama ada tetap dan kontrak di Jabatan Negeri adalah di bawah SPA.

"Jumlah peratusan ini masih belum mencapai siling pengisian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu 92 peratus.

"Saya bimbang sekiranya jumlah pengisian 83.9 peratus ini akan terus menguncup memandangkan jumlah perjawatan awam yang bakal bersara wajib sehingga akhir tahun ini adalah 74 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan alu-aluan pada Majlis Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Katanya penguncupan itu juga dibimbangi akan menjejaskan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya di Melaka.

"Justeru kerajaan negeri ingin memohon agar dipertimbangkan kelulusan tersebut agar segala dasar yang dirangka oleh kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif," katanya.

-- BERNAMA