Melaka perkenal sistem 'Kubur Digital' - Ab Rauf

Projek Kubur Digital dijangka dimulakan segera selepas kajian dan persediaan teknikal, dengan matlamat meningkatkan ketelusan dan kemudahan pengurusan tanah perkuburan di Melaka secara inklusif, moden dan lestari. - Bernama
MELAKA: Melaka bakal menjadi negeri perintis kepada sistem pengurusan tanah perkuburan baharu yang dinamakan “Kubur Digital."
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sistem itu akan menggunakan penomboran digital ke atas setiap plot kubur bagi memudahkan waris mengenal pasti lokasi pusara ahli keluarga dalam jangka panjang.
“Seperti kita maklum, bilangan kubur semakin bertambah dan ada tanda atau penanda asalnya sudah hilang.
"Keadaan ini tidak cukup spesifik untuk membantu pencarian kubur ahli keluarga,” ujar beliau.Lokasi rintis bagi projek ini ditetapkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, sebelum pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh negeri Melaka.
“Menerusi projek Kubur Digital, kita akan menomborkan semua kubur lama secara digital sebagai rujukan bagi memudahkan generasi akan datang menziarahi pusara keluarga mereka,” katanya.
Sistem tersebut dilihat sebagai satu inovasi penting dalam mengatasi cabaran pengurusan tanah perkuburan tradisional, apabila ramai waris sukar menjejaki lokasi pusara kerana kekurangan penanda fizikal yang kekal. Ab Rauf menyatakan projek tersebut akan memberi kemudahan yang lebih tersusun dan sistematik.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MABIMS di Dewan Terbuka Kampung Pulau di Melaka pada Sabtu.
Projek Kubur Digital dijangka dimulakan segera selepas kajian dan persediaan teknikal, dengan matlamat meningkatkan ketelusan dan kemudahan pengurusan tanah perkuburan di Melaka secara inklusif, moden dan lestari.
“Saya yakin pemilihan Kampung Pulau sebagai lokasi perintis ini akan memperkukuh jaringan kerjasama Islam serantau selain menjadikan Melaka sebagai antara nadi penggerak utama dalam memperkasa kesejahteraan ummah,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami