Tiada kit ujian kendiri influenza diluluskan untuk orang awam - PHM

Pemeriksaan menyeluruh oleh doktor diperlukan, termasuk menilai tahap gejala, sejarah kesihatan, dan keperluan ubat antivirus atau rujukan lanjut. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Public Health Malaysia (PHM) menegaskan bahawa tiada sebarang kit ujian kendiri influenza yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk kegunaan orang awam setakat ini, meskipun semakin banyak produk seumpamanya dijual di pasaran dan secara dalam talian.
Ringkasan AI
- PHM menegaskan tiada kit ujian kendiri influenza yang diluluskan untuk kegunaan awam, walaupun banyak dijual secara dalam talian dan di pasaran.
- PHM mengingatkan bahawa hanya doktor boleh mengesahkan jangkitan influenza melalui penilaian klinikal dan ujian makmal; keputusan kit kendiri tidak mencukupi untuk rawatan tepat.
- KKM telah bersiap sedia menghadapi lonjakan kes, termasuk pengasingan laluan pesakit, penambahan katil, dan mobilisasi petugas di hospital.
“Diagnosis influenza hanya boleh disahkan oleh doktor melalui penilaian klinikal dan ujian makmal yang sah,” menurut kenyataan PHM.
PHM turut menjelaskan bahawa keputusan daripada kit ujian kendiri tidak mencukupi untuk menentukan rawatan yang sesuai.
Pemeriksaan menyeluruh oleh doktor diperlukan, termasuk menilai tahap gejala, sejarah kesihatan, dan keperluan ubat antivirus atau rujukan lanjut.
Tanpa pemeriksaan klinikal yang tepat, rawatan boleh menjadi tersilap atau tertangguh, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa semua fasiliti dan petugas kesihatan telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan lonjakan kes influenza luar jangka.
Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital KKM telah melaksanakan pengasingan laluan bagi pesakit berjangkit dan tidak berjangkit untuk mengelakkan penularan dalam kalangan pesakit serta mencegah jangkitan hospital.
KKM juga telah mengaktifkan pelan bencana hospital, termasuk penubuhan zon khas, penyediaan katil tambahan, dan mobilisasi petugas secara dalaman sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes influenza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami