MALAYSIA
Melaka perkenal tag kod QR kepada haiwan ternakan tahun depan

Kod QR terhadap haiwan tersebut juga akan diintegrasikan dengan inisiatif Kampung Digital sebagai satu pusat data tunggal. - Gambar hiasan
MELAKA: Melaka akan memperkenalkan tag kod respons pantas (kod QR) terhadap haiwan ternakan bermula tahun depan, kata Exco kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Akmal Saleh.
Beliau berkata langkah itu diambil kerajaan negeri bagi mengenal pasti pemilik haiwan terutama lembu dan kerbau yang sering membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya hingga menyebabkan kemalangan.
"Sebelum tag kod QR itu dilaksanakan, kerajaan negeri akan mewajibkan tag secara manual di telinga haiwan ternakan terlebih dahulu bermula Ogos ini.
"Menerusi kaedah ini, tindakan boleh diambil terhadap pemilik yang ternakan mereka berkeliaran hingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa kepada pengguna," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) yang mahu tahu status pelaksanaan teknologi kod QR atau sistem pengenalan digital ke atas haiwan ternakan bebas yang berkeliaran di jalan raya.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata kod QR terhadap haiwan tersebut juga akan diintegrasikan dengan inisiatif Kampung Digital sebagai satu pusat data tunggal.
Beliau berkata satu tempoh masa akan diberikan kepada penternak untuk menjalani latihan serta mendaftar ternakan mereka dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi melaksanakan proses tag tersebut.
Menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) yang mahu tahu adakah kod QR berkenaan boleh dipalsukan, Dr Muhamad Akmal berkata ia agak sukar kerana teknologi digital tersebut mempunyai ciri khas unik dengan setiap tag mempunyai nombor siri berbeza.
"Kalau dia nak jual ternakan dia kepada orang lain perlu beritahu beritahu JPV untuk tukar pemilik (dan tukar kod QR)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami