Skip to main content

Malaysia

Melaka teliti kaedah tangani banjir berulang di Tanjung Minyak - Ab Rauf

12 Julai 2026 - Hari ini saya turun padang untuk meninjau sendiri keadaan mangsa banjir dan operasi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu masing-masing 682 mangsa banjir di SK Tanjung Minyak 2 dan 15 mangsa banjir di PPS PERKIM, Masjid Tanah. Melihat sendiri wajah-wajah yang diuji, terutama warga emas, kanak-kanak dan mereka yang uzur, benar-benar menyentuh hati saya.
Ab Rauf menyantuni mangsa banjir di PPS SK Tanjung Minyak 2, hari ini. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh
Advertisement

MELAKA: Kerajaan Melaka akan mengkaji kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini terutamanya di kawasan Tanjung Minyak yang telah berlarutan lebih 30 tahun, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata langkah itu termasuk meneliti syor serta cadangan dikemukakan agensi berkaitan bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kejadian banjir yang kerap melanda kawasan berkenaan.

“Kita akan mengkaji bagaimana kaedah  terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sudah tertangguh (berlarutan) lebih daripada 30 tahun terutama di kawasan Tanjung Minyak ini.

“Saya akan beri perhatian supaya kaedah dan syor yang diberikan oleh agensi berkaitan dapat membantu mengurangkan beban akibat curahan hujan yang terlalu tinggi di kawasan ini yang menyebabkan banjir kerap berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Halyjah Muhamad.

Mengulas kejadian banjir yang berlaku dibeberapa kawasan di negeri itu, Ab Rauf berkata hujan lebat yang melepasi paras kebiasaan menyebabkan sistem takungan air tidak mampu menampung jumlah air yang banyak sehingga melimpah ke kawasan perumahan.

Katanya, setakat hari ini, lebih 900 mangsa daripada kira-kira 300 keluarga ditempatkan di beberapa PPS di seluruh negeri dan kerajaan akan memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian sehingga keadaan kembali pulih.

“Segala kebajikan mereka di PPS akan diuruskan oleh JKM sementara menunggu air surut dan kita berharap hujan tidak lagi turun pada kadar luar biasa supaya mereka dapat pulang ke rumah dan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut mengarahkan semua agensi berkaitan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan tindak balas kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya bantuan segera kepada mangsa yang terjejas turut diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan akan disalurkan oleh kerajaan negeri.

Semalam, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Mohd Adnan Ahmad Fauzi dilaporkan berkata taburan hujan yang tinggi di Melaka Tengah dan Alor Gajah, yang melebihi taburan hujan ketika Ribut Tropika Senyar pada akhir tahun lepas, menjadi antara punca banjir di kedua-dua daerah berkenaan hari ini.

Beliau dipetik sebagai berkata jumlah taburan kumulatif hujan tertinggi, iaitu melebihi 100 milimeter (mm) telah dicatatkan di dua daerah itu pada 2.30 petang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement