DUA perkataan yang cukup popular dalam masa sebulan ini ialah manifesto dan janji. Di media dan di pentas ceramah, itulah dua perkataan yang diulang-ulang oleh pemimpin politik dalam kempen meraih undi menjelang hari penentuan 5 Mei nanti.

Baik Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, masing-masing melaungkan bahawa manifesto merekalah yang lebih unggul dan lebih baik. Pada akhirnya, pengundilah yang akan menentukan pada hari pemilihan nanti. Allah saja yang tahu.

Tetapi selain manifesto BN dan Pakatan Rakyat serta manifesto beberapa parti politik lain yang ikut bertanding, ada satu lagi manifesto yang agak menarik untuk diberikan perhatian — manifesto yang dikeluarkan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA.

Badan pengguna terbesar negara itu mengeluarkan manifestonya lama sebelum BN atau Pakatan Rakyat mengumumkan manifesto mereka. Manifesto itu diumumkan pada 28 Jun 2012 iaitu antara lapan hingga sembilan bulan sebelum parti-parti politik itu mengeluarkan manifesto masing-masing.


Manifesto

Tidak usah kita semak manifesto itu dan ikut sibuk dengan polemik siapa tiru siapa. Isu penurunan harga kereta misalnya, tentulah tidak terkandung dalam manifesto FOMCA kerana sebagai badan pengguna ia memperjuangkan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik.
PRU-13Manifesto FOMCA itu diberi nama Manifesto Tuntutan Pengguna. Ia menggariskan lapan perkara merangkumi hak-hak pengguna yang diterima pakai dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Lapan hak itu merangkumi:

Lapan hak pengguna itu mempunyai sejarah yang panjang lebih 50 tahun. Empat daripadanya pertama kali disebut dalam ucapan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy kepada Kongres pada 15 Mac 1962.

Lajak ke depan 21 tahun kemudian, hak-hak pengguna itu diangkat ke PBB dan badan dunia itu menambah empat lagi hak kepada pengguna. Perhimpunan Agung PBB pada 9 April 1985 meluluskan ketetapan sebulat suara menerima lapan hak itu dan kemudian mengisytiharkan tarikh ucapan Kennedy sebagai Hari Pengguna Sedunia.


Persatuan

Itulah sejarah ringkas — lebih kurang — tentang gerakan kepenggunaan dunia. Angin perubahan di peringkat dunia itu kemudian sampai ke sini dan dalam masa dua tiga tahun, gerakan kepenggunaan bertapak dalam masyarakat kita dengan penubuhan dua persatuan pengguna negeri iaitu Persatuan Pengguna Selangor pada 1965 dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang pada 1969. Dua tahun kemudian, tiga lagi persatuan pengguna ditubuhkan iaitu di Sarawak, Negeri Sembilan dan Kedah.

Dalam tempoh dua tahun berikutnya, gerakan kepenggunaan berkembang ke negeri-negeri lain sehinggalah pada akhirnya, persatuan-persatuan negeri itu berpakat membentuk sebuah gabungan di peringkat kebangsaan. Ia membawa kepada penubuhan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (atau singkatannya FOMCA) pada 10 Jun 1973 di Alor Setar, Kedah.

Presidennya yang pertama ialah Allahyarham Datuk Mohamed Sopiee Sheikh Ibrahim — antara tokoh belakang tabir yang penting dalam sejarah awal pembentukan negara. Beliau pernah jadi wartawan, diplomat dan wakil rakyat tetapi kisah hidupnya hampir tidak diketahui oleh generasi masa kini.

Selepas FOMCA ditubuhkan, beberapa negeri lain ikut menubuhkan persatuan pengguna masing-masing termasuklah Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak menyertai gabungan itu dan sehingga hari ini, kekal sebagai badan yang berasingan. Dalam tempoh lebih 40 tahun sejarah penubuhannya, FOMCA telah memahat namanya di peringkat antarabangsa — memainkan peranan aftif dalam Consumer International, badan gabungan lebih 200 NGO pengguna dari 119 negara.


Politik

Dalam pilihan raya ini pula, FOMCA mencatatkan sejarah baru — mengemukakan manifesto tuntutan daripada pengguna. Sesetengah orang mungkin melihat langkah FOMCA ini dengan cukup sinikal — mungkin "FOMCA bukan parti politik" atau "Jangan campur urusan politik" atau "NGO jangan berpolitik".

Tetapi seperti yang selalu disebut oleh seorang sahabat saya: "Hidup ini sendiri, kalau difikir-fikirkan, adalah politik. Bukankah kalau berjumpa orang kerana hendakkan sesuatu, kita sudah berpolitik?"

PRU-13


Itu kata kawan saya. Tetapi kata Kennedy pada 15 Mac 1962 semasa berucap di Kongres:

"Pengguna, dari segi maknanya, adalah termasuk kita semua. Mereka adalah kumpulan yang terbesar dalam ekonomi, yang memberi kesan serta menerima kesan daripada hampir setiap keputusan ekonomi oleh kerajaan mahupun swasta. Dua pertiga daripada perbelanjaan dalam ekonomi adalah daripada pengguna. Tetapi mereka adalah satu-satunya kumpulan penting dalam ekonomi yang tidak terurus dengan sempurna, dan pandangannya jarang didengar."

Itulah yang menjadi dasar semangat manifesto tuntutan pengguna yang dikemukakan oleh FOMCA. "Pengguna adalah pengundi dan pengundi juga adalah pengguna," kata badan itu dalam mukadimah manifesto tersebut. Ia kemudian menyebut dua isu yang merungsingkan pengguna — kenaikan harga makanan dan keperluan asas serta pengangkutan awam.

Manifesto tuntutan pengguna itu bukanlah sesuatu yang diperjuangkan oleh FOMCA dalam pilihan raya kali ini. Badan itu pun bukannya meletakkan calonnya bertanding. Manifesto itu sebaliknya adalah satu peringatan atau saranan kepada parti-parti politik yang bertanding untuk diambil kira apabila mereka mengemukakan manifesto masing-masing, dan kerana itu ia dilancarkan lebih awal sejak pertengahan tahun lalu.

Sekarang, selepas parti-parti yang bertanding mengumumkan manifesto mereka, terpulanglah kepada kita — sebagai pengguna — untuk menentukan yang mana satu pilihan kita.