Pilihan raya ke-13 sudah tidak lama lagi. Bila? Itu tidak dapat dipastikan. Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Pilihan raya kali ini penting bagi Barisan Nasional kerana ia adalah yang pertama selepas Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Pilihan raya kali ini dilihat sebagai memberikan peluang kepada beliau untuk mendapat endorsement rakyat. Selain itu, Najib juga boleh menggunakan pilihan raya ini untuk membentuk 'wajah baru' politik selepas kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Barisan Nasional perlu memanfaatkan pilihan raya kali ini untuk membentuk wajah baru politiknya bagi menentukan terus relevan. Saya fikir ada beberapa isu yang perlu diambil kira oleh Najib dalam menentukan calon pilihan raya sama ada calon Parlimen atau DUN:

Pertama: Memberikan peluang kepada muka-muka baru. Malaysia adalah sebuah negara yang 'muda'. Sebahagian besar rakyat negara di bawah umur 40 tahun. Barisan Nasional perlu mengiktiraf kepimpinan generasi muda dan memberikan peluang kepada mereka untuk memimpin. Walau bagaimanapun, proses peralihan kepimpinan bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak semua orang mahu melepaskan jawatan yang disandang. Barisan Nasional harus mencari kaedah yang terbaik. Kata orang, bagai menarik rambut dalam tepung.

Kedua: Mengamalkan dasar "inclusive"; bukannya "exclusive". Untuk Barisan Nasional kekal menjadi sebuah parti politik untuk rakyat Malaysia seluruhnya, ia harus membuka ruang yang besar kepada semua orang - bukan sahaja untuk menjadi ahli tetapi juga memberikan peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam kepimpinan parti. Barisan Nasional harus melebarkan jaringannya bagi menentukan bukan sahaja aktivis parti diberikan peluang menjadi calon pilihan raya, tetapi orang lain yang difikirkan layak dan boleh menyumbang.

Ketiga: Meningkatkan penyertaan wanita dalam pilihan raya. Rungutan bahawa wanita tidak mendapat peluang yang sewajarnya tentulah ada asas. Barisan Nasional wajar menentukan penyertaan lebih ramai calon wanita dalam pilihanraya kali ini. Lebih daripada itu, lebih ramai ahli parlimen wanita wajar diberikan peluang menjadi menteri pada kabinet akan datang.

Keempat: Dasar pendidikan negara telah melahirkan cerdik pandai yang ramai. Pandangan jauh pemimpin negara terdahulu jelas membuahkan hasil yang baik. Oleh itu, Barisan Nasional harus mengiktiraf pencapaian rakyat dalam pendidikan dan menjadikannya sebagai salah satu kriteria pemilihan calon.
Tanpa mahu menafikan sumbangan orang lain, Barisan Nasional harus memberikan peluang yang lebih kepada calon berpendidikan tinggi yang arkulatif dan memahami aspirasi perjuangan anak bangsa. Pemimpin yang berpendidikan dan berilmu mampu menangani isu melalui hujah dan wacana.

Kelima: Kemampuan untuk memupuk budaya baru politik negara. Dalam keghairahan mendapatkan jawatan, parti-parti politik akan melakukan apa sahaja untuk berkuasa. Barisan Nasional tidak harus terperangkap dengan gaya politik 'matlamat menghalalkan cara'. Rakyat ingin melihat Barisan Nasional memupuk budaya politik baru yang menekankan kepada kekuatan hujah dan tumpuan kepada isu.
Barisan Nasional telah melakukan sesuatu yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara dengan kekangan dan sumber yang ada. Mungkin apa yang dilakukan itu tidak sempurna, namun itulah yang terbaik yang dapat dilakukan. Saya percaya rakyat menghargai apa yang dilakukan.

-----------------------------------------------------
* Tulisan ini dipetik daripada buku Tunggu Apa Lagi? yang ditulis oleh Nobisha selepas pilihan raya umum 2008. Kami menyiarkan semula petikan daripada buku itu setelah Nobisha dalam satu komentarnya di Twitter baru-baru ini menyebut: "Apa yang saya tulis mengenai politik lima tahun dulu masih relevan."


* Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.