Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada presiden dilantik Amerika Syarikat, Donald Trump.

Datuk Seri Najib berkata Malaysia akan meneruskan kerjasama dan hubungan antara kedua negara di bawah pimpinan pemimpin dari Parti Republikan itu.

Amerika Syarikat dan Malaysia katanya telah meningkatkan hubungan mereka ke peringkat perkongsian komprehensif pada 2014 dan saling bekerjasama rapat dalam usaha memerangi keganasan dan ekstremisme di seluruh dunia.

"Kami berharap untuk meneruskan kerjasama ini di bawah pimpinan Trump yang dipilih sebagai presiden.

"Saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas kemenangan luar biasa ini dan berharap untuk bertemu beliau tidak lama lagi," kata perdana menteri dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kejayaan Trump disifatkannya sebagai luar biasa apabila ia bertentangan dengan jangkaan pakar, penganalisis dan media.

"Di hampir setiap tempat, pengulas-pengulas di media telah terbukti salah dan keputusan dijangkakan oleh pakar-pakar telah tersasar," katanya.


Datuk Seri Najib menambah, kemampuan Trump untuk mendengar rayuan rakyat Amerika yang ingin melihat sebuah kerajaan yang lebih tertumpu kepada kepentingan dan kebajikan membolehkan beliau menduduki White House.

Kejayaan itu juga dipacu janji Trump yang tekad untuk mengurangkan campur tangan asing terhadap kepentingan Amerika.

"Pendapat pilihan raya, dan tokoh-tokoh politik terkemuka, semuanya telah tersalah tafsir kekuatan sokongan terhadapnya.

"Rayuannya kepada rakyat Amerika yang telah ketinggalan - mereka yang mahu melihat kerajaan lebih menumpukan pada kepentingan dan kebajikan mereka, kurang terbabit dalam campur tangan asing yang terbukti bertentangan dengan kepentingan Amerika Syarikat - telah membolehkan Encik Trump memenangi White House," katanya.

LAPOR LANGSUNG: Donald Trump dipilih sebagai Presiden AS ke-45

Trump daripada parti Republikan mengalahkan Hillary Clinton daripada parti Demokrat dalam persaingan sengit awal hari ini untuk menjadi presiden Amerika Syarikat ke-45.