PADA tanggal 15.7.2021 yang lalu, The Sydney Morning Herald, sebuah akhbar harian negeri New South Wales, Australia membuat sebuah laporan dengan memuji kecekapan dan keteraturan Malaysia menyusun program vaksinasi nasional sehingga tersenarai dalam 5 negara terbaik di dunia dalam aspek pemberian vaksin kepada warganya. Tidak dapat dinafikan kita [Malaysia] masih lagi punya pelbagai cabaran yang sukar dijangka dalam konteks mengurus pandemik C19, namun dalam kepelbagaian kepayahan dan cabaran tersebut, kita masih berada pada landasan yang baik dalam perjuangan negara untuk keluar dari krisis dan pandemik C19 ini. Pelbagai strategi dan langkah struktural telah dirangka oleh kerajaan kita [Kerajaan Perikatan Nasional] pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tujuan tersebut dan yang terbaru adalah Pelan Pemulihan Negara bermula pada Julai 2021.

Tidak dinafikan kepimpinan UMNO telah secara langsung terlibat dalam proses 3P iaitu, pengurusan, pengawalan dan pemulihan negara semenjak negara mula berhadapan dengan pandemik C19 setahun yang lalu [bukan bertujuan untuk menafikan keterlibatan pihak-pihak selain UMNO, malah seluruh entiti dan pelbagai segmen masyarakat telah terlibat dalam proses 3P tersebut]. Semenjak Bersama-sama dengan kepimpinan Parti BERSATU, PKR, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) & Gabungan Rakyat Sabah (GRS), membentuk kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN); kepimpinan UMNO telah diberi kepercayaan untuk memimpin dan mengurus sektor-sektor penting pentadbiran negara, antaranya Kementerian Luar Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia & Sukan, Kementerian Sains & Teknologi, Kementerian Perpaduan dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (sekadar menyebut beberapa contoh), dan yang terbaharu adalah perlantikan Dato’ Sri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri yang ke-13 negara.

Kesemua perkembangan ini menunjukkan betapa kepimpinan UMNO memperoleh kepercayaan yang sangat konstruktif dari YAB Perdana Menteri untuk menggalas tanggungjawab sektor-sektor penting pentadbiran kerajaan, ketika mana negara sedang berhadapan dengan krisis yang menuntut semua segmen kemasyarakatan bersolidariti bersama-sama dengan kerajaan dalam memandu negara keluar dari krisis yang amat kritikal ini.

Dari satu sisi yang lain, perkembangan ini juga seolah-olah satu bentuk “blessing in disguise” atau “rahmat yang tersembunyi”. Mengapa saya kata demikian? UMNO seperti mana yang telah sedia maklum, telah kehilangan tampuk peneraju kuasa politik negara setelah Barisan Nasional pimpinan UMNO mengalami kekalahan pada Pilihan Raya UMUM ke-14 2018 yang lalu. Dalam konteks kepimpinan UMNO, kekalahan tersebut bukan sahaja pahit untuk diterima, malah ianya merupakan suatu tragedi-politik yang menyayat hati dalam sejarah kepimpinan politik parti UMNO, selaku tulang-belakang kepada pentadbiran politik Malaysia selama lebih 6 dekad.

Kepimpinan politik UMNO yang dikatakan “tidak-relevan”, “ego”, “korupsi”, “tamak” serta “hasad-dengki”, dikatakan antara faktor dan punca utama mengapa UMNO dan Barisan Nasional telah ditolak buat julung-kalinya pada PRU14 yang lalu. Walau bagaimanapun, krisis politik dalaman yang melanda kepimpinan Parti Pakatan Harapan (PH), menyaksikan tampok kepimpinan kerajaan PH yang berusia 22 bulan selaku kerajaan Persekutuan berakhir pada 23.2.2020, dan tampok kuasa telah beralih tangan kepada gabungan Perikatan Nasional yang turut didukung serta disokong oleh UMNO.

Kembalinya UMNO ke persada kuasa negara melalui tanggungjawab menggalas beberapa jawatan penting kabinet seperti mana yang saya nyatakan di atas, merupakan kesempatan yang amat baik untuk kepimpinan UMNO membuktikan kepada warga Malaysia, bahawa kepimpinan UMNO adalah bersifat “ever-green”, iaitu senantiasa relevan dalam apa jua fasa dan situasi. Pandemik C19 secara “division of labour” dalam konteks 3P yang saya nyatakan diawal tadi, diterajui oleh dua kementerian yang dipimpin oleh pemimpin UMNO, iaitu YB Dato’ Sri Dr Adham Baba selaku Menteri Kesihatan dan YB Khairy Jamaluddin yang mengepalai Kementerian Sains & Teknologi, selaku menteri yang bertanggungjawab mengkoordinasi program vaksinasi negara.

Manakala, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri, semenjak dari mula pandemik C19 melanda negara, selaku Menteri Kanan di bawah Kementerian Pertahanan, telah memainkan peranan yang sangat agresif dalam mengkoordinasi gerak-kerja mengawal-selia perintah-perintah kawalan pergerakan seperti mana yang telah dan sedang dilaksana sekarang. Demikian juga peranan “pandemic-diplomacy” yang diurus oleh YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, di bawah Kementerian Luar Negeri, khususnya dalam aspek “image control” negara di era pandemic adalah sangat baik dalam konteks memposisikan Malaysia dalam kalangan negara dunia yang pro-active dan efficient, secara tidak langsung menempelak tuduhan liar yang mengatakan Malaysia adalah sebuah negara gagal.

Dalam erti kata lain, selaku sebahagian dari parti yang membentuk kerajaan PN dan diberikan tanggungjawab yang sangat strategik dalam mengurus hal-ehwal yang terkait dengan krisis Pandemik C19, tidak keterlaluan untuk saya menyatakan di sini bahawa kemimpinan UMNO yang berada dalam kabinet PN telah secara konstruktif nya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan cemerlang. Rekod ini secara tidak langsung adalah kesempatan yang amat baik untuk kepimpinan UMNO menyatakan kepada rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, bahawa UMNO bukanlah sebuah kempimpinan politik yang “obsolete”. UMNO masih relevan dan punya barisan kepimpinan yang “tak lekang dek panas, tak luput dek hujan”.

Walaupun kemelut pandemik ini masih berada pada tahap yang kritikal, namun, keupayaan kepimpinan UMNO bersama-sama dengan kepimpinan PN, mengurus krisis yang sedang dihadapi negara sekarang wajar menerima pujian (deserved a credit) dari semua segmen masyarakat. Saya tidak menyatakan ianya sebuah pengurusan yang sempurna tetapi untuk mencari kesempurnaan dalam situasi yang bersifat “we never experience it before” adalah suatu tuntutan dan desakan yang tidak adil serta kurang bijak.
Selaku Ketua kepada salah satu bahagian UMNO, keputusan UMNO untuk bersama-sama membentuk kerajaan PN dan seterusnya mendokong solidariti dengan kempimpinan YAB Perdana Menteri bila mana negara dilanda krisis serta wabak yang sukar dikawal, bagi saya ianya suatu keputusan yang menggambarkan sifat KEBIJAKSANAAN kepimpinan UMNO. Kebijaksanaan tersebut saya lihat sebagai satu bentuk tingkah laku kepimpinan politik yang matang, mengerti saat bila mana kepentingan negara dan rakyat didahulukan; faham akan tuntutan negara dan rakyat mengatasi kepentingan parti apatah lagi peribadi.

Maka sebab itulah saya amat tidak faham dan merasa begitu terkilan, bila mana wujud suara-suara sumbang dan desakan dangkal dalam kepimpinan UMNO akhir-akhir ini; yang menginginkan agar UMNO keluar dan menarik kembali solidariti yang telah dipersetujui untuk bersama-sama dengan kepimpinan negara (PN). Dalam negara yang sedang dilanda musibah, desakan-desakan yang bersifat dangkal tersebut adalah sangat bertentangan dengan KEBIJAKSANAAN selaku sebuah parti yang sifatnya pernah di sebut oleh seorang ilmuan tersohor bahawa UMNO itu adalah “The Patron”, iaitu pelindung kepada keberadaan negara dan rakyat.
Sekiranya desakan-desakan dangkal tersebut diterima pakai oleh kepimpinan tertinggi UMNO, ianya seolah-olah membenarkan imej-imej negetif yang dilontarkan oleh musuh-musuh UMNO sebelum ini bahawa UMNO adalah sebuah parti yang penuh dan sarat dengan “hasad-dengki”, “ego”, “mengutamakan kepentingan peribadi”, “tamak-haloba” dan “usang”. Imej-imej tersebut akan bertambah kukuh dan bersulam satu sekiranya UMNO menerima pakai desakan tersebut dan mengambil keputusan dangkal untuk TIDAK LAGI BERSOLIDARITI dengan kerajaan, tak kala negara sedang dilanda musibah.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan saat yang sangat kritikal dan genting ini, kepimpinan UMNO harus menggunakan akal-budi yang waras dan hati yang luhur untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai matlamat yang unggul iaitu bersama-sama dengan semua segmen masyarakat membawa negara keluar dari musibah. UMNO itu diasaskan dengan nilai dan budaya yang tinggi dengan disulami oleh akal-budi yang berhemah melalui KEBIJAKSANAAN yang unggul. Tokoh pemimpin Nusantara pernah menyatakan bahawa antara keterserlahan KEBIJAKSANAAN seseorang manusia itu adalah apabila dia “tahu saat-saat mencipta sejarahnya”.

Justeru itu, saya menyeru agar dalam saat dan situasi negara yang sangat kritikal ini, kepimpinan UMNO mesti bersikap BIJAKSANA dan mengenepikan sifat-sifat yang berimejkan “ego”, “hasad-dengki”, “selfish” serta “tamak-haloba”. Hanya dengan BIJAKSANA sahaja UMNO akan senantiasa kekal relevan.



* Datuk Zakaria Dullah ialah Ketua UMNO Bahagian Simpang Rengggam.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.