Memoir S.M Mohamed Idris: 'Banyak teguran beliau saya dengar, telan ketika jadi Menteri Kewangan' - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan penerbitan buku berjudul 'The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris' di ibu negara, pada Isnin. - Gambar ASTRO AWANI/Ikqwan Lee
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengimbau kelantangan aktivis sosial, S. M. Mohamed Idris pada tahun 1990-an ketika beliau menyandang jawatan Menteri Kewangan dan bergiat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Perdana Menteri berkata, legasi aktivisme sosial Allahyarham S.M kekal relevan sebagai suara membela terutamanya golongan terpinggir yang tiada kekuatan untuk mempertahankan hak mereka.
"Keberanian beliau mampu gugat gunung, serta memalukan menteri dan kerajaan, namun ia dilakukan dengan penuh kebijaksanaan. Ketika saya jadi Menteri Kewangan pada tahun 90-an dulu, banyak teguran saya dengar dan telan," ujar Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika melancarkan penerbitan memoir berjudul, The Man Who Could Move Mountains: Reflections on the Social Activism of S.M. Mohamed Idris yang mengabadikan jasa aktivis sosial berkenaan.
Mesra disapa sebagai Uncle Idris, beliau meninggal dunia pada usia 93, sepanjang hayatnya tokoh aktivis itu tekun memperjuangkan keadilan tanpa tunduk kepada tekanan politik, ekonomi atau kuasa konglomerat besar.
Untuk rekod, Allahyarham merupakan pengasas bersama dan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) serta Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Perjuangan Uncle Idris merentas sempadan sektor dan ideologi, menghubungkan isu tempatan dengan wacana global, termasuk hak pengguna, keadilan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta ketidakseimbangan sistem pembangunan.
Tambah Anwar, aktivisme diperjuangkan S. M. Mohamed Idris bukan bersifat partisan, sebaliknya berpaksikan kepentingan negara, rakyat dan generasi masa hadapan.
"Ini bukan soal politik kepartian, ini soal negeri, soal negara, soal lingkungan dan soal keadilan. S.M. Idris tidak memilih jalan mudah, beliau memperjuangkan hak orang kecil yang tiada daya, tiada kekuatan, tiada pengaruh, tetapi harus diberikan pembelaan.
"Uncle Idris dahulu pernah mencabar arus pembangunan yang dilihat merugikan alam sekitar dan kepentingan awam di kawasan Penang Hill pada tahun 1991, ia adalah satu projek besar yang turut mendapat sokongan kerajaan negeri dan persekutuan.
"Hasil gerakan Uncle Idris, serta tekanan rakyat yang tersusun dan kempen berterusan, projek Penang Hill akhirnya dibatalkan. Ini membuktikan peranan aktivisme sosial tidak boleh dipandang remeh jika disusun dengan tertib dan tanpa kebencian," ujar Anwar.
Buku ini terdiri daripada 21 bab yang digarap oleh 20 penulis terkemuka, antaranya warga pendidik, cendekiawan dan peguam seluruh negara dan disunting oleh Claude Alvares, Shahridan Faiez dan Lim Jee Yuan.
Shahridan, yang juga Penolong Setiausaha CAP berkata, nukilan ini lebih bersifat karya memorial dan merupakan seruan untuk bertindak, khususnya dalam menghidupkan kembali peranan aktivisme sosial.
"Buku ini bukan semata-mata mengenai masa lalu, ia adalah rangka tindakan bagi masa hadapan.
"Dengan menghimpunkan 20 jiwa yang disentuh Allahyarham, kami melihat warisan hidup daripada keyakinan seorang individu. Harapan kami adalah untuk menyampaikan obornya kpada generasi baharu.
"Menekankan bahawa tindakan rakyat yang terlibat dan berprinsip kekal sebagai kunci untuk membina Malaysia yang kami cita-citakan," ujar Shahridan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


