JANGAN silap untuk membezakan di antara sistem Bus Rapid Transit (BRT) dan pengangkutan bas sedia ada. Kedua-duanya amat berbeza. Bukan bergantung kepada reka bentuk sahaja tapi jauh dari itu. Sistem BRT yang canggih sudah banyak dipraktikkan di negara lain yang dapat menampung kapasiti penumpang dengan kelajuan yang ditetapkan. Sebenarnya garis panduan BRT yang hendak dipraktikkan perlu sesuai dengan keadaan sesuatu tempat dan boleh meningkatkan kapasiti penggunaan pengangkutan awam.

Bercakap soal pengangkutan awam yang menarik bermaksud ia mudah difahami dan digunakan. Perjalanannya agak pantas dan cekap, frekuensi yang tinggi, boleh dipercayai dan menawarkan kualiti serta perkhidmatan baik. Syarat utama yang harus ada adalah tahap ketersediaan, keselamatan dan piawaian yang tinggi perlu dipenuhi. Sistem jaringan utama sistem pengangkutan awam di bandar perlu dilengkapi dengan perkhidmatan penghantaran dan laluan bas tempatan termasuklah ke bandar-bandar kecil dan sederhana di samping menjadi pelengkap kepada keseluruhan hab di bandar besar.

Jika kita lihat, BRT sepatutnya mudah digunakan di satu-satu kawasan dengan reka bentuk, penjenamaan dan identiti tersendiri di sekitar kawasan bandar. Malah ia dapat berinteraksi dengan bandar dengan tempoh operasi yang panjang yang menghubungkan pengangkutan lain dan persekitaran bandar. Selain itu, operasi hariannya tidak akan terganggu terutamanya di satu-satu hentian dan menjadi keutamaan untuk bergerak apabila berada di persimpangan jalan.

Sistem BRT dapat berintegrasi dengan kawasan bandar dan merupakan sebahagian dari persekitaran bandar.

MERANCANG BANDAR DENGAN MENARIK SANGAT PENTING

Reka bentuk sesebuah bandar merupakan salah satu syarat daya tarikan dan kecekapan pengangkutan awam dan ia memerlukan sokongan aktiviti ekonomi setempat. Ini dapat meningkatkan integrasi pengangkutan awam di bandar dan menyediakan keperluan asas untuk pembangunan bandar yang mampan. Pendek kata, BRT perlu dianggap sebagai sebahagian dari bandar tersebut.

Kita memerlukan BRT yang boleh berintegrasi dengan bangunan-bangunan di kawasan bandar terutamanya. Laluan yang dirancang perlu berdekatan dengan kawasan perniagaan dan perkhidmatan, mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan berhampiran dengan perhentian bas. BRT juga dapat berinteraksi dengan mod pengangkutan lain terutamanya kawasan penjalan kaki dan berbasikal dan menjadikannya lebih menarik dan efisien. Kita perlu sedar bahawa matlamat BRT adalah menjadikan satu-satu kawasan itu hidup dan memudahkan orang ramai untuk bergerak.

Jadikanlah BRT sebahagian dari persekitaran bandar dengan perancangan secara teliti dengan mewujudkan dan mempromosikan fungsi bandar seperti perdagangan, pendidikan, acara dan lain-lain di kawasan hentian BRT. Perkara ini penting supaya kawasan bandar hidup terutamanya di tempat awam dan persekitaran hentian BRT.

BRT perlu ada identiti dan reka bentuk tersendiri untuk beri isyarat jelas dan menjadikan kenderaan tersebut mudah dikenali.

Kalau hendak menjadi tarikan kepada pelancong, keseluruhan bahagian BRT perlu dititik beratkan. Kualiti dan pengalaman seseorang penumpang menentukan sejauh mana kepuasan seseorang sebagai penumpang. Sistem pengangkutan awam yang berjaya memerlukan kerjasama baik dengan rangkaian pengangkutan lain. BRT yang disediakan haruslah merupakan sebahagian daripada perancangan sistem pengangkutan bandar dan sebahagian dari sistem pengangkutan awam. Kita tidak mahu 'syok sendiri'.

LALUAN BAS

Kalau hendak sediakan laluan, perlulah direka dan digunakan berdasarkan fungsi BRT itu sendiri. Reka bentuk pula perlu sesuai dengan kawasan dan laluan penjalan kaki yang ada. Laluan bas yang berasingan dapat menghubungkan dengan bangunan berhampiran, masa pula menjadi singkat dan diberikan keutamaan berada di atas jalan raya.

PERHENTIAN BAS

BRT perlu menyediakan hentian yang banyak. Kemudahan di hentian pula perlu lengkap dan sistematik seperti pendekatan pemanduan terus, kemudahan platform dengan menandakan kedudukan pintu, kawasan menunggu yang luas beserta tempat duduk dan berbumbung. Manakala pencahayaan perlu baik, maklumat harus tepat dan 'real time' di samping mempunyai skrin maklumat yang interaktif untuk sebarang pengumuman dan kemudahan untuk membeli tiket.

REKA BENTUK BAS

BRT perlu ada identiti dan reka bentuk tersendiri untuk beri isyarat jelas dan menjadikan kenderaan tersebut mudah dikenali. Pendek kata, biar nampak unik. Pintu BRT yang disediakan perlu luas untuk mudah dan cepat keluar masuk dan sekurang-kurangya mempunyai satu pintu masuk yang disesuaikan untuk golongan kurang upaya. Kenderaan yang direka bentuk juga perlu mengikut keadaan lalu lintas. Jika di kawasan bandar, sudah pasti reka bentuk berbeza untuk memperolehi kapasiti penumpang yang maksimum. Di pinggir bandar yang mempunyai perjalanan yang agak lama boleh menyediakan kemudahan tempat duduk yang lebih banyak. Bagi menyokong usaha persekitaran yang bersih, selesa dan selamat, penggunaan kuasa elektrik dan hibrid adalah pilihan terbaik oleh BRT. Barulah mesra alam.

Jika garis panduan sistem BRT ini dapat dipenuhi dan dicapai, maka sesebuah bandar dapat diwujudkan dengan persekitaran yang menarik dan pengangkutan awam yang sistematik.


* Dr Mohd Fahmy Abdullah Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICOE-REL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

** Beliau kini sedang menjalankan kajian komprehensif berkaitan 'Green Growth Framework for High Speed Rail in Malaysia' selama 3 tahun melalui Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

*** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.