SEKURANG-kurangnya 72,584.73 hektar (ha) hutan di Semenanjung Malaysia, atau hampir seluas Singapura didakwa akan dimusnahkan dalam masa terdekat.

Pendedahan itu dibuat oleh kumpulan alam sekitar Rimba Disclosure Project (RDP) dalam satu pengumpulan data pada tahun 2021, dalam usaha untuk memantau aktiviti berkaitan penebangan hutan di Semenanjung Malaysia.

Menerusi penyelidikan tersebut, RDP mendakwa sejumlah 86 penilaian kesan alam sekitar (EIA) membabitkan tanah berhutan telah diluluskan, 28 penyenaraian hutan untuk dijual dikenal pasti serta satu projek melibatkan pemusnahan hutan sedang dijalankan. 

Lebih mengejutkan, kumpulan itu mendakwa daripada 86 EIA yang diluluskan iaitu berjumlah 28,075.72ha, sebanyak 89 peratus atau 24,973.76ha terletak dalam hutan simpan.

"Daripada EIA ini (yang diluluskan), sebanyak 71 peratus membabitkan ladang hutan, dan 24,973.76ha daripada EIA iaitu lebih besar daripada saiz Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diluluskan untuk penebangan hutan di dalam hutan simpan kekal," kata RDP dalam kenyataan, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, RDP menambah EIA yang diluluskan masing-masing melibatkan ladang hutan sebanyak 60; perlombongan dan kuari (sembilan), minyak sawit (enam), pembalakan tidak dikenal pasti (lima), infrastruktur (empat), dan pertanian lain (dua).

Mengenai 28 penyenaraian hutan untuk dijual pula, RDP berkata ia dikenal pasti melalui laman web termasuk Mudah.my, iProperty, PropertyGuru, serta Facebook.

Foto/RDP

Penyenaraian tersebut, dakwa RDP lagi termasuk tanah dalam hutan simpan, habitat Central Forest Spine, dan tanah adat orang asli.

“Hutan paling banyak dijual adalah di Pahang (27,900ha), diikuti Kelantan (10,411ha), Terengganu (3,631ha), Selangor (264ha), dan Perak (202ha).

"Selain itu, terdapat 404ha untuk dijual di negeri yang tidak diketahui," dakwa RDP.

EIA yang diluluskan - Foto/RDP

Kata RDP, sebelum ini pihaknya telah menggesa agar pihak berkuasa negeri menjalankan siasatan berkaitan dakwaan penyenaraian hutan untuk dijual, tetapi setakat yang mereka tahu, tiada tindakan diambil.

Sementara itu, Selangor Smart Agro Park didakwa "projek yang sedang berlangsung" membabitkan penebangan 970ha hutan paya gambut.

Dakwa RDP lagi, walaupun pembangunan itu dihentikan oleh Jabatan Alam Sekitar kerana kekurangan EIA, penyokong projek telah mengulangi bahawa mereka 'tetap komited' untuk melaksanakan projek itu berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Selangor.

Sehubungan itu, RDP menyeru agar institusi kewangan memainkan peranan dan mengiktiraf hubungan antara biodiversiti dan krisis iklim, serta “segera memutuskan semua aliran kewangan ke arah pemusnahan hutan”.