KUALA LUMPUR: Penganalisis politik menganggap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai ‘Bapa Reformasi’ kerana sikapnya yang terbuka terhadap pengkritik.

Pakar Hubungan Etnik, Pembangunan dan Sosiologi Politik UKM, Profesor Mansor Mohd Nor berkata semasa era pentadbiran Abdullah, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  jarang digunakan ke atas pengkritiknya.

“Zaman Datuk Seri Najib (Razak) kita nampak ISA dibuat untuk ditekan tapi zaman Tun Abdullah kita jarang nampak (ISA digunakan), sebenarnya bagi saya dia 'Bapa Reformasi',” katanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri Malaysia kelima yang mesra dipanggil Pak Lah itu bersikap progresif dengan mengamalkan dasar terbuka terhadap industri media sama ada alternatif atau arus perdana.

“Bila dia (Pak Lah) naik apa yang dia lakukan... dia bebaskan media bukan sahaja arus perdana, media sosial juga,” katanya semasa wawancara Perjalanan Terakhir Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama Astro AWANI hari ini.

Pada tahun 2008, Indeks Kebebesan Media di Malaysia berada di tangga 132 sebelum jatuh satu tangga selepas Pak Lah menyerahkan pentadbirannya kepada Najib.

Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada jam 7.10 malam tadi.

Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad.