KUALA LUMPUR: Layanan seperti seorang ibu, kata-kata semangat serta kemesraan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menjadi kenangan yang terus terpahat dalam hati mereka yang pernah mendekati beliau.
Bagi atlet dan penggiat seni, setiap pertemuan bersama tokoh itu membawa makna tersendiri, daripada dorongan untuk mengharumkan nama negara hinggalah nasihat agar sentiasa menghargai keluarga.
Pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi, mengenang kemesraan Dr Siti Hasmah bersama golongan artis, selain kecintaan beliau terhadap muzik.
“Kadangkala, dalam kalangan orang yang berada di atas, mereka tidak rapat dengan artis. Tetapi Tun Dr Siti Hasmah rapat. Rupa-rupanya, Tun Dr Siti Hasmah juga seorang pencinta muzik,” katanya.
Menurut Aznil, minat Allahyarham terhadap muzik turut memperlihatkan perhatian beliau terhadap perkembangan seni.
Sementara itu, bekas pemain perseorangan badminton negara, Rashid Sidek, menyifatkan kehadiran Dr Siti Hasmah bersama pemain sebagai tanda sokongan yang ikhlas.
“Beliau sentiasa ada untuk kami. Bagi saya, itulah semangat ikhlas beliau,” katanya.
Bagi bekas pemain beregu badminton negara, Datuk Cheah Soon Kit, kejayaan menjulang Piala Thomas menjadi antara kenangan paling bermakna bersama Dr Siti Hasmah.
“Detik yang paling saya ingati ialah ketika kami memenangi Piala Thomas. Ketika itu, sasaran kami memang untuk memenangi Piala Thomas,” katanya.
Soon Kit turut mengenang pesanan Dr Siti Hasmah yang membantu pemain menenangkan diri serta memahami tanggungjawab membawa nama negara.
“Beliau memberikan banyak pesanan dan dorongan supaya kami dapat menenangkan hati, bermain bersungguh-sungguh dan mengingatkan kami bahawa kami ialah pemain untuk Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelumba rali negara, Karamjit Singh, mengimbau gurauan Dr Siti Hasmah ketika mereka bertemu yang menjadi kenangan sukar dilupakan.
“Beliau berkata, ‘Saya menunggu 100 tahun untuk berjumpa dengan kamu, Karamjit.’ Beliau sangat lucu,” katanya.
Menurut Karamjit, Dr Siti Hasmah turut mengucapkan tahniah dan memberikan dorongan supaya beliau meneruskan kerjaya dalam sukan rali.
“Beliau memegang tangan saya dan bercakap dengan saya. Saya berasakan beliau seperti ibu saya,” katanya.
Penyanyi, Kashika, pula mengenang pesanan Dr Siti Hasmah mengenai keluarga dan pendidikan yang terus melekat dalam ingatannya.
“Beliau memberi saya banyak nasihat. Jangan lupakan ibu bapa. Pendidikan itu penting. Itulah perkara yang paling saya suka tentang beliau,” katanya.
Sementara itu, pelakon, Lisa Surihani, berkata sifat keibuan Dr Siti Hasmah membuatkan seseorang berasa dekat dengan beliau sebaik sahaja bertemu.
“Beliau seorang yang bersifat keibuan. Apabila bertemu beliau, tiba-tiba kita berasa seperti seorang anak perempuan kepada beliau, secara simboliknya,” katanya.