SEBAGAI insan, seringkali kita disaran menyatakan rasa sabar dan syukur dalam segala hal yang berlaku. Pun begitu menjadi fitrah insan, kita sering alpa dalam bersabar dan bersyukur ketika menjalani kehidupan seharian atas kesibukan dan alasan masing-masing. Walaupun Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa semua daripada kita akan tetap melakukan kesalahan dan kesilapan selagimana kita bergelar insan tetapi itu bukanlah tiket untuk kita terus lupa dan mendustakan nikmat Tuhan.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Kesemua anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat" (HR Ibn Majah). Maka proses tarbiah sepanjang Madrasah Ramadan merupakan kesempatan terbaik untuk setiap daripada kita bermuhasabah dan memohon keampunan dari Allah Azza Wa Jalla; apatah lagi kita telah melewati fasa kedua berpuasa di bulan Ramadan iaitu fasa keampunan (maghfirah).

Ramadan adalah bulan kesabaran. Ibadah puasa dan nikmat sabar mempunyai hubung kait yang saling erat dalam mengangkat keimanan seorang hamba pada Penciptanya. Dalam perjalanan madrasah Ramadan, ibadat berpuasa mengajar setiap insan bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Bulan Ramadan juga mendidik insan untuk bersabar menahan diri dalam melakukan dosa dan menurut hawa nafsu yang akan mengurangkan pahala berpuasa. Berpuasa di bulan Ramadan turut mengasuh insan agar redha dalam menghadapi setiap takdir dan musibah yang menimpa dengan penuh kesabaran.

Foto Mohsien ShaarPeranan yang dimainkan oleh GC Care, ZuriatCare , DPIM, Kumpulan Al Ansar dan tim Projek Beras Ramadan 2019 membawa impak besar. - Foto Mohsein Shariff

Jelas sekali proses tarbiah menjadi insan yang bertaqwa bermula dengan usaha mencapai tahap kesabaran yang tinggi ketika menghadapi ujian berpuasa daripada Allah. Kejayaan tarbiah Madrasah Ramadan bukan saja meningkatkan martabat seseorang malah Allah SWT berfirman tentang mereka yang mendapat nikmat sabar di dalam Al Quran mahfumnya, "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (balasan) pahala mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar:10). Nah, begitu tinggi ganjaran nikmat kesabaran pada pandangan Ilahi dan beruntunglah mereka yang melalui tarbiah madrasah Ramadan dalam keadaan memperolehi nikmat sabar.

Mensyukuri nikmat adalah sesuatu yang dituntut pada setiap insan yang telah mendapat kenikmatan. Sewajarnya kita harus memanjatkan kesyukuran atas nikmat kesabaran terutama ketika di bulan Ramadan. Syukur adalah saudara dari sabar, dan nikmat syukur tidak akan sempurna tanpa merasai nikmat sabar! Dengan kesyukuran, nikmat yang kecil akan terasa besar dan dugaan yang besar akan dirasakan kecil. Nikmat syukur menjadikan kita sentiasa ingin mencukupkan dan saling mencukupi walau apapun situasi yang dihadapi samada susah mahupun senang. Nikmat syukur menerbitkan nilai-nilai kemanusiaan dan nikmat syukur juga membentuk insan yang mempunyai jiwa yang sentiasa ingin memberi dan menyumbang agar kemanisan syukur turut dapat dikongsi bersama.

Peranan yang dimainkan oleh GC Care, ZuriatCare , DPIM, Kumpulan Al Ansar dan tim Projek Beras Ramadan 2019 membawa impak besar. - Foto Mohsein Shariff

Dalam perjalanan madrasah Ramadan kali ini, Allah SWT telah mengurniakan kesempatan kepada beberapa sahabat dan penulis untuk menjiwai nikmat sabar dan nikmat syukur melalui penglibatan kami menyantuni golongan asnaf miskin, mualaf orang asli, anak-anak yatim, anak-anak tidak bernasab, ibu-ibu muda serta golongan miskin bandar. Kami turut diperkenalkan dengan lebih dekat kepada petugas-petugas di lapangan dan sebenarnya mereka inilah wira-wira tak didendang yang menjadi penggerak kerja-kerja kebajikan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

Melihat ketekunan dan kecekalan para pendakwah, pengurus operasi Lembaga Zakat Selangor, ketua amil zakat, pengurus rumah anak yatim, penyelia rumah perlindungan dan pekerja-pekerja am melaksanakan amanah dan tanggungjawab di sepanjang bulan Ramadan dengan penuh sabar sangat menginsafkan kami. Di riak wajah mereka juga jelas perasaan syukur apabila bantuan dan sumbangan berjaya disampaikan kepada para penerima atas usaha dan inisiatif mereka. Beruntunglah mereka ini kerana menjadi di antara insan-insan yang telah dipilih oleh Allah untuk merasai nikmat sabar dan syukur ketika melaksanakan tugas. Mereka ini wajib dicemburui!

Peranan yang dimainkan oleh semua sahabat-sahabat dari GC Care, ZuriatCare , DPIM, Kumpulan Al Ansar, tim Projek Beras Ramadan 2019 serta penyumbang-penyumbang dana turut membawa impak yang besar dalam menjayakan projek masing-masing. Amat wajar setiap usaha, pengorbanan dan komitmen yang dilakukan oleh semua yang terlibat turut dirakamkan setulus penghargaan dan ucapan terima kasih. Walaupun usaha yang dilaksanakan kecil berbanding nasib yang dilalui oleh setiap golongan namun iltizam mereka untuk berkongsi kegembiraan di bulan Ramadan sambil membantu mengurangkan kesulitan di pihak penerima menghidupkan lagi ruh Ramadan sebagai Syahrul Jud - Bulan kemurahan hati. Semoga usaha yang kecil ini mendapat ganjaran sebaiknya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w “Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Mudah-mudahan usaha-usaha murni ini menerbitkan nikmat sabar dan syukur dalam hati-hati setiap daripada kita. Amin.

Nota: "Al-Fatihah buat bonda Maitun Mustafa yang telah kembali ke Rahmatullah pada 23 Ramadan 1440H, sentiasa dalam ingatan"


* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI