KUALA LUMPUR: Berada di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watch List) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2023 merupakan satu pencapaian yang baik buat negara, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Nazri menjelaskan peningkatan ini merupakan satu langkah konstruktif oleh kerajaan Amerika Syarikat dalam menambah baik kerjasama hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Peningkatan ini mengambarkan sifat keterbukaan kedua-dua negara untuk berbincang, memahami dan bekerjasama dalam menambah nilai kepada hubungan comprehensive partnership Malaysia-Amerika Syarikat yang bakal mencecah 10 tahun pada tahun 2024.
 

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia juga akan terus memantau perbincangan berkenaan isu ini di Amerika Syarikat serta pelaksanaan usaha-usaha kolektif Malaysia dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan cerminan pendirian negara adalah tepat di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau juga menegaskan, peningkatan tahap ini merupakan satu pemangkin bagi Malaysia untuk lebih strategik dan tegas sebagai respon kepada penemuan laporan ini.

“Berlandaskan kepada prinsip Malaysia Madani, saya berpendapat tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dalam jenayah keji ini.  

“Mereka perlu dibawa kepada muka pengadilan berteraskan lunas perundangan sedia ada,” ujarnya.

Mohamed Nazri berkata, pihak Kedutaan Besar Malaysia sedia untuk membantu dan menyokong penuh usaha Kerajaan Malaysia melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ini terutamanya dalam memudah cara penyampaian yang tepat berhubung usaha-usaha Malaysia dalam menangani isu-isu yang digariskan secara holistik melalui pendekatan whole-of-nation tanpa kompromi demi keselamatan dan kedaulatan negara,.

“Saya percaya bahawa perkara yang sedang dalam pelaksanaan seperti Roll Out Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI 2.0) yang dilancarkan pada 22 Mac 2023 turut menjadi kayu ukur kepada keseriusan dan komitmen tinggi Kerajaan Malaysia Madani dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,” katanya lagi.

Beliau juga percaya agenda reformasi yang dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyumbang kepada keyakinan Kerajaan Amerika Syarikat terhadap kemampuan serta komitmen Kerajaan Malaysia.

Pada 15 Jun lalu, laporan JNAS yang diumumkan di Washington DC telah meletakkan Malaysia di Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watch List) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2023.

Laporan ini berdasarkan peningkatan bilangan penyiasatan, pendakwaan dan sabitan kes serta pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan bilangan mangsa, pelaksanaan usaha peningkatan kesedaran di sektor perladangan sawit, peningkatan bilangan latihan dan juga peningkatan perkhidmatan perlindungan dan sokongan kepada mangsa pemerdagangan orang.
 
Sementara itu, Laporan ini juga menggariskan 15 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2023 hingga 31 Mac 2024.

Ini termasuk meningkatkan pengenalpastian mangsa dalam kalangan golongan rentan, pekerja domestik, pekerja sektor perladangan sawit dan sarung tangan getah.