KUALA LUMPUR: Kota Suci Mekah diramal berdepan hujan pada beberapa hari terakhir Ramadan ini.

Menurut laman AccuWeather, Tanah Haram diramal berdepan dengan ribut pada tengah hari ini (Selasa) dan esok (Rabu), juga pada Sabtu (6 April).

Terdahulu, laman X AlEkhbariyaTV melaporkan hujan melanda Masjidil Haram semalam (1 April).

Video berkenaan turut dikongsikan laman X milik HaramainInfo.

Keadaan cuaca sama turut dijangkakan di Madinah, yang diramal hujan pada hari ini dan esok.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terdahulu melaporkan seramai lapan juta jemaah menunaikan umrah pada dua minggu pertama Ramadan.

Sebagai langkah mengatasi kesesakan di Masjidil Haram, Kerajaan Arab Saudi juga memaklumkan jemaah hanya dibenarkan melakukan ibadah umrah sekali sahaja sepanjang Ramadan ini.

Ia juga bagi memastikan semua jemaah mempunyai peluang untuk menunaikan ibadah berkenaan sepanjang berada di Tanah Haram.


Ends