KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disahkan positif COVID-19 pada Selasa.

Amirudin berkata, beliau memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul berhubung perkembangan berkenaan.

"Sesiapa yang berurusan dengan saya dalam tempoh terdekat mohon ikuti protokol kesihatan sewajarnya.  Pohon panjatkan doa buat saya dan keluarga. Terima kasih," katanya melalui akaun media sosialnya, malam ini.

Sementara itu, Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor, dalam satu kenyataan malam ini, berkata keputusan itu diperoleh setelah Amirudin menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Beliau akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari mengikut protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kembali bertugas secara rasmi mulai hari Selasa minggu hadapan (8 Mac 2022).

"Marilah bersama-sama kita mendoakan kesihatan beliau sekeluarga dan semua yang turut terkesan dengan wabak COVID-19.

"Semoga Allah SWT terus merahmati dan melindungi kita semua jua," kata kenyataan itu.

Pada 13 Disember lalu, isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad bersama dua anak mereka turut disahkan positif COVID-19.