Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Menteri Kabinet rakam ucapan takziah atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah

Sumber: Astro AWANI
Menteri Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini. -Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Kabinet merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook menyifatkan Dr Siti Hasmah sebagai seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, perjuangan serta jatuh dan bangun dalam diam yang penuh pengorbanan.

“Beliau menjadi tunjang kekuatan di sisi Tun Dr Mahathir. Kini, setelah sekian lama berjalan bersama, satu perjalanan itu terpaksa diteruskan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisi.

“Takziah buat Tun Dr Mahathir dan keluarga. Semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Allahyarham merupakan tokoh wanita dan tokoh perubatan yang disegani kerana menabur bakti selama puluhan tahun kepada pembangunan kesihatan negara. 

Berucap sebelum merasmikan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia di Dewan Utama di Kolej Poly-Tech MARA di Ipoh, Perak, hari ini, Dzulkefly berkata Allahyarham merupakan perintis dalam pembangunan kesihatan awam, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak, kesihatan keluarga serta kebajikan masyarakat.

"​Sebagai seorang tokoh doktor dan tokoh wanita yang telah banyak menabur bakti selama puluhan tahun, sumbangan Allahyarham kepada profesion perubatan, kesihatan awam dan pembangunan masyarakat pasti akan terus dikenang sepanjang zaman.

​"Bagi seluruh warga Kementerian Kesihatan, saya menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya atas segala jasa dan khidmat bakti Tun Dr Siti Hasmah kepada negara," kata beliau dalam nada sebak. 

Bagi Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, jasa Allahyarham dalam bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat akan terus dikenang.

“Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah atas pemergian beliau. Negara kehilangan sosok wanita yang menjadi inspirasi kepada ramai wanita di Malaysia,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengucapkan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan yang begitu disayangi.

“Saya amat berdukacita menerima khabar pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali. Seorang wanita yang cukup saya hormati. Lembut tutur katanya, sederhana peribadinya dan sentiasa menyenangkan sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya,” katanya.

Beliau turut mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Sementara itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Malaysia kehilangan tokoh negara yang telah menabur bakti sepanjang hayatnya, bukan sahaja sebagai isteri kepada Tun Dr Mahathir tetapi sebagai seorang tokoh dalam haknya sendiri.

“Malaysia akan sentiasa terhutang budi atas khidmat, pengorbanan dan kasih beliau kepada negara. Legasi Tun Dr Siti Hasmah akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Tidak ketinggalan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut menyifatkan Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang sentiasa tenang dan sederhana dalam penampilan.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah melalui perjalanan yang panjang bersama Tun Dr Mahathir, mendampingi beliau dalam pelbagai fasa kehidupan termasuk ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang berada dalam dunia politik dan pentadbiran negara.

“Saya mengenali Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang sentiasa tenang dan sederhana dalam penampilan. 

“Tun (Dr Mahathir), saya mendoakan semoga Tun dan seluruh keluarga diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan insan yang begitu dekat di hati. Semoga Allah SWT mengampuni segala khilaf Allahyarham, merahmati rohnya dan menempatkannya bersama orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Bagi Menteri Digital Gobind Singh Deo pemergian Dr Siti Hasmah meninggalkan seabad legasi jasa, ilmu serta kasih sayang yang dicurahkan kepada keluarga, masyarakat dan tanah air, yang akan terus dikenang dan dimartabatkan generasi akan datang.

Antara lain yang turut merakamkan ucapan takziah ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement