KUALA LUMPUR: Para menteri Kabinet menerusi media sosial mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia hari ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil selain mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan, beliau turut berharap Malaysia kekal maju, makmur dan sejahtera.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula melahirkan penghargaan kepada pekerja sektor pengangkutan yang sanggup meredah cuaca mencabar berjam-jam, demi keselesaan seluruh masyarakat.

"Mereka mendahulukan tanggungjawab memastikan rakyat boleh bergerak dengan bebas, (dapat) berhubung dengan orang tersayang dan menyumbang kepada kemajuan negara kita.

"Semoga ucapan terima kasih kita kepada wira yang tidak didendang yang membuat negara kita bergerak, menjadi bukti semangat perpaduan dan kemajuan tidak berbelah bahagi yang mentakrifkan negara kita hebat," katanya sempena ucapan Hari Kebangsaan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula mendoakan semoga perpaduan dan keamanan negara terus selamanya terpelihara.

"Kita raikan kelebihan dan kekuatan masing-masing kerana kesepaduan kekuatan akan terus membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Semoga jati diri dan jiwa merdeka kita terus kukuh untuk melalui cabaran dan peluang yang mendatang," katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berharap agar orang ramai mempunyai jiwa dan semangat merdeka yang kukuh dalam mendepani pelbagai rintangan dan cabaran.

"Dalam mengorak langkah yang lebih jauh mendepani pelbagai rintangan dan cabaran, semoga tiap dari kita mempunyai jiwa dan semangat merdeka yang dalam erti kata sebenar-benarnya," katanya.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pula, menasihatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan diri dan saling menghormati antara satu sama lain, demi kesejahteraan bersama dalam perjalanan menuju kemajuan.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula menyeru orang ramai untuk menjauhi permusuhan, adu domba, fitnah dan nista, kerana perpaduan rakyat merupakan kunci kemajuan dan kejayaan negara.

Bagi Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, beliau berkata kemerdekaan mesti dihayati setiap anak-anak agar mereka sedar mengenai hak dan tanggungjawab sebagai warganegara, selain sebagai peringatan untuk bekerja keras, bersatu-padu dan saling membantu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar pula, menyeru orang ramai bersyukur menikmati kemerdekaan kerana ia dikecapi daripada pengorbanan insan-insan terdahulu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyeru orang ramai agar terus menyokong kepelbagaian budaya, bangsa dan agama dalam negara selain 'memerdekakan' pemikiran daripada tingkah laku yang membawa kepada perpecahan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menyeru orang ramai untuk bersama-sama bertekad membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pula mengingatkan semua untuk bekerjasama menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik dan makmur.

"Sejak sekian lama, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya, bersama-sama mewujudkan sebuah negara yang unik dan ceria. Kepelbagaian kitalah yang menjadi daya tarikan dan kekuatan negara kita," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam ucapan menerusi RTM Sabah, berharap kemerdekaan diisi dengan semangat kebersamaan untuk kemakmuran dan kemajuan negara demi kebanggaan generasi pada masa hadapan.

Turut mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan termasuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

-- BERNAMA