Hari Guru 2020 akan disambut pada 16 Mei ini ketika negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, tampil dalam video pendek bagi melancarkan tema sambutan itu iaitu, 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu'.

Kementerian Pendidikan berkata, tema itu dipilih bagi menonjolkan peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme, bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam video berdurasi 2.16 minit yang disiarkan di semua laman media sosial rasmi kementerian itu, Mohd Radzi turut berkongsi pengalamannya sendiri menuntut ilmu daripada guru-guru, sejak dari bangku sekolah rendah di Ketereh, Kelantan.

Kisah perguruannya bermula di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, Kota Bharu, sebelum beliau melangkah ke pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Dalam perjalanan hidup ini kita sentiasa singgah di perguruan, bagi setiap langkah yang kita atur dan setiap tapak yang kita tinggalkan di perguruan ini, ada ilmu yang kita kutip bersamanya.

"Di sinilah perguruan formal saya bermula, berguru dengan guru yang penyabar dan penuh dedikasi dalam membina asas pengetahuan dan karakter diri," kata Mohd Radzi.

BACA: 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' tema Hari Guru tahun ini

Mohd Radzi berkata, beliau telah menerima didikan yang penuh tanggungjawab dari guru-gurunya, yang sentiasa berikhtiar melakukan yang terbaik untuk anak didik.

Beliau berkata, ilmu boleh dipelajari di mana-mana dan dari sebuah kampung, beliau telah berpeluang melanjutkan pendidikannya di MTD.

Sumber Facebook KemPendidikan

Video itu turut memaparkan beliau berjumpa dengan bekas gurunya di MTD, Cikgu Hairul Badarul Shah Md Hashim.

"Di kota perguruan ini (MTD), saya mengutip ilmu bukan sahaja dalam bilik darjah dan di asrama tetapi juga di hutan belantara, di lurah dan puncak bukit, di lautan luas dan di padang kawad. Kembara perguruan saya diteruskan sehingga ke hari ini.

"Perguruan dengan niat yang ikhlas demi menuntut ilmu merupakan perguruan yang paling bermakna, kerana ilmu yang dikutip akan sentiasa lekat di sanubari.

"Ingatlah ilmu yang dikutip walaupun secebis, tentu ada guru yang menyampaikannya," katanya.

Video itu diakhiri dengan Mohd Radzi meyampaikan ucapan "Terima kasih Cikgu!".

-- BERNAMA