PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan Putera Faisal bin Farhan sempena lawatan rasmi dua hari Menteri Luar Arab Saudi itu ke Malaysia bermula 7 hingga 8 Jun.

Menurut kenyataan Kementerian Luar semalam, semasa lawatan itu, Putera Faisal akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Putera Faisal juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saifuddin dan Putera Faisal akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi merangka hala tuju hubungan Malaysia-Arab Saudi yang sudah sedia kukuh.

Kedua-dua Menteri Luar itu juga akan turut bertukar-tukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Putera Faisal turut dijadual mengadakan pertemuan secara berasingan bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysia dan Arab Saudi telah lama menjadi rakan kongsi dan kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang dalam pelbagai bidang, termasuk dalam tindak balas COVID-19 dan pemulihan pasca pandemik.

Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan sumber import terbesar dalam kalangan negara Asia Barat. Jumlah dagangan Malaysia-Arab Saudi pada 2021 bernilai RM17.56 bilion (USD4.23 bilion).

-- BERNAMA