MALAYSIA
Menteri Luar Malaysia, Rubio bincang ketegangan Thailand-Kemboja - Jabatan Negara AS

Rubio turut mengulangi hasrat Amerika Syarikat untuk mencapai keamanan dan pelaksanaan gencatan senjata.
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan membincangkan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, kata jurucakap Jabatan Negara AS Tammy Bruce pada Rabu.
"Setiausaha Negara Marco Rubio telah berbincang dengan Menteri Luar Malaysia bagi menyampaikan penghargaan terhadap peranan kerajaan Malaysia dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja serta kejayaan memudah cara perjanjian gencatan senjata berhubung pertikaian sempadan yang sedang berlaku," katanya dalam kenyataan yang dipetik Sputnik/RIA Novosti.
Rubio turut mengulangi hasrat Amerika Syarikat untuk mencapai keamanan dan pelaksanaan gencatan senjata, katanya.
"Amerika Syarikat menyokong rundingan selanjutnya mengenai pelaksanaan gencatan senjata bagi memastikan keamanan dan kestabilan antara Thailand dan Kemboja," katanya lagi.Ketegangan di sempadan Thailand-Kemboja bertukar menjadi pertempuran bersenjata pada 24 Julai, apabila kedua-dua pihak saling berbalas tembakan artileri. Kedua-dua negara melaporkan korban jiwa, termasuk orang awam.
Pada 27 Julai, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata AS tidak akan berunding mengenai tarif dengan mana-mana negara yang terlibat dalam konflik bersenjata, dan menggesa Thailand dan Kemboja segera memulakan rundingan gencatan senjata.
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam. Namun pada Selasa, Pemangku Perdana Menteri Thailand mendakwa Kemboja terus melanggar gencatan senjata secara sistematik di kawasan sempadan. Dakwaan itu telah dinafikan oleh Kementerian Pertahanan Kemboja.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami