KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari New Zealand, Nanaia Mahuta, sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia dari 6 hingga 9 Ogos.

Ini merupakan lawatan pertama Mahuta ke Malaysia sejak memegang jawatan tersebut pada November 2020.

Kementerian Luar Malaysia, dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan kedua-dua menteri dijadual bertemu dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Antara perbincangan utama termasuk mengenal pasti mekanisme dua hala yang sesuai bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Mahuta juga dijadual bertemu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama antara komuniti orang asli kedua-dua negara.

“Lawatan ini memaparkan komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan New Zealand.

"Selain itu, ia juga memberi peluang bagi kedua-dua buah negara meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam pelbagai sektor demi kebaikan bersama," jelasnya.