KUALA LUMPUR: UMNO, yang mempunyai 11 menteri dalam Kerajaan Persekutuan sekarang berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kemaslahatan rakyat, demikian pandangan beberapa anggota pentadbiran negara.

Menurut mereka, secara amnya prestasi menteri UMNO adalah baik, dan kebanyakan mereka mencuba sebaik mungkin untuk memainkan peranan masing-masing bagi membantu rakyat, khususnya dalam fasa pemulihan negara dan peralihan daripada pandemik COVID-19 ke endemik.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, setiap daripada menteri UMNO berusaha memainkan peranan berkesan di kementerian masing-masing, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat di peringkat pemulihan ekonomi negara, ekoran wabak yang melanda negara sejak 2020.

"Saya fikir kenyataan itu tidak tepat, beliau tidak boleh ambil daripada sudut sebagai orang luar, kita tahu apa yang kita buat. Saya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar tahu apa naratif yang rakyat mahukan, mungkin ucapan beliau di luar konteks," kata Menteri Pembangunan Luar Bandar selepas merasmikan pameran korporat kementerian itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas ucapan perasmian serentak Pehimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Mohamad Hasan yang menyatakan prestasi UMNO dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan, namun mengakui ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dibentuk pada Ogos 2021, adalah kerajaan campuran - Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak - yang dianggotai 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar tidak menafikan pencapaian menteri UMNO terpalit dengan 'prestasi tidak meyakinkan', memandangkan kerajaan masa ini terdiri daripada kerajaan campuran.

"Kalau dilihat lemah kita mungkin terpalit (dengan prestasi tidak meyakinkan), tapi bagi saya kalau menyatakan bahawa kepimpinan kerajaan hari ini lemah saya tidak bersetuju, kerana kita lihat Pilihan Raya (PRN) Johor dan Melaka, sebagai contoh apabila kita mengambil alih, UMNO memberi sumbangan besar kepada rakyat, dasar-dasarnya jelas," katanya.

PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021 

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin mengakui ada sesetengah pemimpin kerajaan, yang terdiri daripada gabungan beberapa parti itu tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan.

Beliau berkata kerajaan yang mentadbir Putrajaya pada masa ini adalah kerajaan campuran, oleh itu penilaian prestasi dan perbandingan tidak boleh dibuat memandangkan gerak kerja berbeza dalam kalangan pemimpin itu sendiri.

"Bersatu cara Bersatu, UMNO cara UMNO, dan mungkin ada yang tak berprestasi (memuaskan), kita akuilah tapi inilah keadaan kerajaan campuran.

"Memandang ke depan, kalau rakyat tengok kerajaan campuran itu tidak memberi prestasi yang baik mungkin dia akan undi satu parti. Itu terpulang kepada rakyat pada pilihan raya akan datang," katanya.

-- BERNAMA