KUCHING: Padah menyamar sebagai doktor di pusat pemberian vaksin, seorang lelaki diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu semasa prosiding di Mahkamah Kuching hari ini.

Tertuduh Shah Hairil Izman Dave, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi selepas membaca laporan sosialnya yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak.

Zubaidah dalam penghakimannya menyatakan perintah tersebut dibuat di bawah Seksyen 293(1)(e) Kanun Prosedur Jenayah.

Malah dengan itu juga, tertuduh tidak dikenakan hukuman maksimum yang diperuntukkan iaitu dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Untuk rekod, pada 1 Julai lalu, Shah Hairil dari Bandar Baru Semariang ditahan di pusat pemberian vaksin di Stadium Perpaduan Kuching sekitar jam 3 petang kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Malah tertuduh telah melakukan perbuatan itu sejak 16 Jun lalu dan telah masuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebanyak 32 kali.

BACA: Remaja mengaku bersalah menyamar jadi doktor di PPV

Lelaki menyamar doktor di PPV mengaku bersalah

Tertuduh juga telah menggunakan kad pegawai kesihatan palsu atas nama Dr Shah Hairil Izman selain memiliki beberapa peralatan kesihatan seperti pakaian, stetoskop dan alat pemeriksa nadi.

Bagaimanapun tindakannya yang mencurigakan itu telah berjaya dikesan sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Susulan kes tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut mengesahkan bahawa tertuduh tidak terlibat dengan kerja-kerja penyuntikan vaksin di pusat berkenaan.

Pada prosiding tersebut, pendakwaan telah dilakukan oleh Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.